MOHAMED Nazri (enam dari kanan) bersama delegasi Malaysia semasa pameran pelancongan antarabangsa, London’s World Travel Market (WTM) 2017.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Malaysia mengambil bahagian dalam pameran pelancongan antarabangsa, London’s World Travel Market (WTM) 2017 yang berlangsung pada 6 hingga 8 November lalu sebagai langkah awal mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Acara tahunan itu adalah kali ke-34 disertai Malaysia dan pada tahun ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri mengetuai 130 delegasi yang terbabit dalam industri pelancongan Malaysia.

Mohamed Nazri berkata, WTM menjadi platform yang menyediakan peluang kepada industri pelancongan Malaysia untuk memperluaskan kempen serta meningkatkan keyakinan serta kerjasama antara pemain industri Eropah.

Beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan kempen jenama Malaysia di rantau berkenaan yang memberi jaminan untuk meningkatkan aksesibiliti dari pasaran UK dan Eropah melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Singapore Airlines, Etihad Airways, Emirates, Qatar Airways dan KLM Royal Dutch Airlines.

“Menerusi WTM, kami juga mengetengahkan perkara berkaitan pembangunan terbaru di Malaysia termasuk projek Trasit Aliran Massa (MRT) yang membantu meningkatkan jaringan penghubung destinasi pelancongan di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia kepada pelancong.

“Semua projek pembangunan ini selari dengan hala tuju kita dalam Kempen Tahun Melawat Malaysia menjelang 2020 yang mana diharap dapat menarik 36 juta kehadiran pelancong dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

‘Malaysia Truly Asia’ kekal menjadi jenama negara di peringkat global yang sesuai dengan kepelbagaian budaya, makanan yang lazat dan aset alam sekitar seperti hutan hujan tropika, tanah tinggi, pulau, pantai dan tasik. Selain itu, bandar moden di Malaysia yang menarik mampu menonjolkan negara dalam pasaran pelancongan global.

Setakat tahun lalu, Malaysia mencatatkan 26.8 juta ketibaan pelancong dan meraih RM82.1 bilion perbelanjaan daripada sektor berkaitan. Daripada jumlah berkenaan, 400,269 adalah pelancong dari pasaran United Kingdom.

Menurut laporan Worldwide Trends Report 2017, Malaysia mencatatkan kedudukan ke-10 dunia iaitu meningkat dari tangga ke-14 pada 2016 sebagai lokasi percutian jarak jauh paling digemari dalam kalangan pengembara United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:36 PM