PESERTA bersama keluarga Mathevi.
HM Digital

Aktiviti sukarelawan dalam kalangan mahasiswa terbukti mampu membentuk jati diri dan seterusnya melahirkan generasi pelapis berkualiti yang bakal memimpin negara ini pada masa akan datang.

Di MSU penuntut sentiasa didedahkan pelbagai aktiviti jalinan komuniti yang membabitkan segenap lapisan masyarakat termasuk anak yatim, ibu tunggal, Orang Asli dan golongan miskin bandar.

MSU Learning Centre baru-baru ini menganjurkan program jalinan komuniti yang membabitkan 24 siswa dari program Bacelor dan Diploma Perakaunan.

Tumpuan utama aktiviti adalah membantu keluarga yang serba kekurangan dan kurang terurus iaitu Mathevi, ibu kepada enam anak yang empat daripadanya masih bersekolah, sementara suaminya terlantar sakit serta memerlukan rawatan akibat kemalangan tahun lalu.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Mathevi mementingkan pendidikan anaknya dan mereka mencapai prestasi yang baik di sekolah.

Penuntut bergotong-royong membersihkan rumah, selain memberikan sumbangan pakaian, barangan keperluan harian, barangan kelengkapan persekolahan dan mendapatkan dana bagi menampung kos ubatan serta rawatan.

Menurut pengarah program, Vinoth Kandasamy, program sebegini akan terus dijalankan agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat selain memantapkan sifat kepemimpinan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 3:43 PM