ANTARA residensi universiti yang ada di ibu kota.
PENGINAPAN di asrama yang lengkap dengan meja tulis untuk kemudahan penuntut.
RUMAH flat selalu menjadi pilihan siswa di ibu kota untuk menyewa.
SUASANA penuntut yang menyewa.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading menjadi impian setiap pelajar sejak di bangku sekolah.

Itulah matlamat yang mahu dicapai dalam menimba ilmu pengetahuan pada tahap lebih tinggi.

Keseronokan bergelar mahasiswa membuatkan ramai tidak berfikir berkenaan aspek lain yang perlu dihadapi dalam menjalani kehidupan di kampus termasuk pengangkutan dan penginapan. Ada universiti menyediakan penginapan untuk penuntut, memuatkan dua atau tiga orang dalam sebuah bilik bagi kemudahan pelajarnya.

Tetapi tidak semua penuntut mendapat kemudahan penginapan itu.

Biasanya, siswa tahun satu diberi keutamaan tinggal di hostel, sementara penuntut tahun dua dan seterusnya akan diminta mencari penginapan sendiri.

Dalam pada itu, ada penuntut diberi kemudahan hostel tetapi memilih tinggal di luar disebabkan pelbagai peraturan asrama yang kadangkala menyukarkan pergerakan mereka.

Faktor seperti tidak boleh memasak, batasan masa untuk masuk semula ke asrama ketika malam dan persekitaran yang tidak mempunyai banyak kemudahan membuatkan mereka selesa berada di luar.

Di sebalik itu, aspek keselamatan menjadi perkara utama bagi mereka yang menginap di luar kampus hingga kadangkala menimbulkan masalah lain seperti isu sosial.

Itu antara luahan pelajar yang menetap di luar kampus dan dalam sama terus gigih berusaha untuk menempa kejayaan di menara gading.

Risiko tinggal di dalam atau luar kampus tetap ada terutama pelajar yang menetap di luar kampus. Pelbagai aspek perlu diambil kira, bukan saja pelajar itu sendiri, malah tanggungjawab pihak universiti dalam memastikan keselamatan mereka terjamin.

Ada kalanya pihak universiti sendiri tidak mengetahui di mana pelajar mereka menginap dan hanya tahu mereka hadir ke kelas yang ditetapkan mengikut jadual semester.

Perkara seperti itu perlu diubah dalam memastikan pelajar bukan saja meraih pelajaran yang secukupnya, malah menitikberatkan aspek kehidupan harian.

Bagi penuntut tahun dua Universiti Malaya (UM), Besek Mariam Mohamad Jahis, 20, dalam memilih tempat penginapan, aspek utama adalah keselamatan, tidak kira di dalam atau di luar kampus. Masing-masing ada masalah tersendiri, bergantung pada kawasan pengajian.

“Pada tahun pertama, saya tinggal di dalam kampus dengan harga yang berpatutan iaitu pada kadar RM6 sehari. Namun harga ini bergantung pada universiti, ada yang murah dan ada yang mahal.

“Bagi saya, tinggal di asrama di dalam kampus lebih selamat, ada juga asrama yang disediakan pihak universiti di luar kampus yang saya rasakan tidak begitu selamat jika dibandingkan di dalam kampus,” katanya.

Jelasnya, tinggal di asrama mempunyai banyak kelebihan seperti bas disediakan untuk ke kelas, jadi alasan terlambat dan jauh tidak timbul, selain mudah mengulang kaji pelajaran.

Katanya, kehidupan penuntut bukan saja tertumpu kepada pelajaran di dewan kuliah, sebaliknya ia turut membabitkan aspek kehidupan di luar dewan kuliah dan kampus.

“Penginapan siswa adalah aspek terpenting dalam ciri sokongan ini yang berkait secara langsung dengan pelajar dalam membentuk jati diri dan sikap seorang pelajar,” katanya.

Pengalaman menginap di luar kampus selama beberapa bulan menyebabkan Siti Nurmunirah Mohd Zambry, 21, mengambil keputusan memohon kemasukan ke asrama.

Kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah itu, awalnya dia berasakan menetap di luar kampus lebih selesa dan tidak terikat dengan peraturan hostel.

“Saya memilih untuk menginap di luar kampus yang dirasakan lebih selesa, tapi sebenarnya ia menambahkan komitmen terutama dalam pengurusan masa.

“Dari segi kediaman, saya tiada masalah dan hanya mengeluarkan duit sewa dalam RM100 lebih kerana berkongsi dengan tujuh rakan yang lain.

“Tetapi berikutan tempat penginapan yang jauh dari kampus menyebabkan masa saya terganggu, juga terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak ke kelas sekiranya terlepas bas. Wang banyak dihabiskan untuk pengangkutan sebab terpaksa mengambil teksi sekiranya lambat ke kelas,” katanya.

Katanya, berikutan masalah itu, ibu bapanya menyarankan untuk kembali menginap di hostel.

“Keselamatan juga lebih terjamin jika berada di asrama kerana dikawal rapi. Jika rumah sewa berhampiran kolej, ia akan lebih memudahkan dan tidak perlu mencari pengangkutan lain, sama ada bas atau teksi untuk ke kelas,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar tahun satu Akademi Pengajian Islam UM, Mohd Faridzhuan Firdaus Mohd Nanyan, 23, berkata penuntut luar kampus lebih mudah menjalankan aktiviti luar kampus yang berkaitan dengan minat dan hobi serta menjadi medan paling sesuai untuk belajar menguruskan diri dengan lebih baik.

Namun, katanya, masalah lain pula yang bakal dihadapi terutama faktor keselamatan yang kurang terjamin kerana terdedah dengan pelbagai jenayah yang berlaku di komuniti tempat siswa menetap.

“Selain itu, penuntut juga perlu menanggung segala kos utiliti sendiri yang biasanya tidak disediakan tuan rumah. Namun kemudahan lain seperti memasak boleh menjimatkan perbelanjaan.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai pengangkutan, masalah lain pula akan timbul. Jadi, sebelum memilih tinggal di luar, pelbagai perkara perlu diambil kira,” katanya.

Namun, katanya, tidak semua penuntut universiti mahupun kolej daripada kalangan orang berada. Mereka seboleh-bolehnya akan cuba menjimatkan wang setiap semester.

“Selain itu, makanan adalah satu perkara asas buat penuntut. Mereka akan menghabiskan sekurang-kurangnya RM30 sehari untuk makan dari pagi sehingga malam di Kuala Lumpur.

“Jika sebulan, RM900 akan dibelanjakan untuk makanan saja, belum perkara lain seperti alat tulis, bahan bacaan dan kerja kursus.

“Ada kursus memerlukan perbelanjaan besar dan ada yang tidak. Semua faktor itu membuatkan pelajar akan cuba untuk menjimatkan kos dalam segala hal. Akhirnya, mereka memilih untuk menyewa di luar demi mendapatkan kemudahan berkenaan,” katanya.

Bagi Mohd Faridzhuan Firdaus, penuntut akan lebih berdikari apabila menyewa di luar kerana akan belajar mengenai pembayaran bil air, elektrik mahupun Internet.

Jelasnya, semuanya terpulang pada individu untuk memilih sama ada di dalam mahupun di luar kerana setiap daripadanya ada faktor yang berbeza namun akhirnya kita akan pelajari sesuatu perkara daripadanya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, di universiti itu penginapan asrama yang disediakan hanya berupaya memuatkan separuh daripada jumlah pelajar.

Bagaimanapun, pihak pentadbiran menetapkan penuntut tahun satu diwajibkan tinggal di asrama selama dua semester.

“Sepanjang tempoh dua semester di asrama itu, ia melatih penuntut berdikari dalam menguruskan antara keperluan diri dan pengajian.

“Ia sebagai persediaan kepada penuntut itu sendiri sekiranya tidak layak lagi untuk berada di hostel.

“Cuma di hostel, persekitarannya lebih kepada suasana kampus kerana dikelilingi siswa berbanding menyewa di luar yang mana pergaulan penuntut itu agak luas,” katanya.

Jelasnya, menghuni asrama atau menyewa tidak menimbulkan masalah kepada penuntut sekiranya siswa itu pandai menguruskan masa antara kehidupan sosial dan pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 2:59 PM