JUALAN bunga antara yang menarik perhatian pelanggan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Musim konvokesyen datang lagi.

Acara kemuncak bagi setiap institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta sentiasa dinantikan saban tahun.

Pada masa inilah siswa yang tamat pengajian diraikan dengan gilang-gemilang dan penuh penghormatan.

Malah musim konvokesyen turut dinantikan penuntut kerana pelbagai acara diadakan termasuk karnival mini merangkumi gerai jualan dan pameran boleh dilawati ketika majlis berlangsung.

Ia turut membuka peluang kepada penuntut menyertai aktiviti dan kebanyakan siswa mengambil kesempatan menambah duit poket sepanjang acara berlangsung.

Peluang keemasan itu tidak dilepaskan dan apa yang lebih penting ia turut melatih penuntut untuk menguruskan perniagaan dengan baik dan meningkatkan disiplin terutama pembahagian masa antara kelas dengan perniagaan.


TERDAPAT juga yang mengambil upah menjadi pembantu kedai pakaian.

Bagi penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Muhd Haiqal Azman, 20, bukan hanya mencari duit poket semata-mata, sebaliknya dapat mempraktikkan ilmu berniaga.

Katanya, ini kali kedua dia menyertai pasukan kolej kediaman untuk menjalankan perniagaan makanan pada musim konvokesyen.

“Upah yang diterima dapatlah digunakan untuk menampung makan minum ketika di kolej.

“Walaupun sedikit kerana terpaksa berkongsi untung dengan pihak kolej, ia dapat meringankan perbelanjaan saya dan duit pinjaman dapat dijimatkan,” katanya.


PELBAGAI produk boleh dijual ketika musim konvokesyen.

Katanya, selain mencari wang saku, apa yang lebih penting dapat melatih dirinya untuk menjadi siswa serba boleh.

Bagi rakannya Nur Syazwani Rosli, 20, pula bukan hanya upah yang dinantikan, sebaliknya usaha untuk memberi hidangan terbaik kepada pelanggan.

“Saya dan rakan dipertanggungjawab menguruskan gerai jualan, sudah pasti kami perlu melakukan yang terbaik untuk menarik pelanggan.

“Setiap hari kami memikirkan cara meningkatkan cita rasa makanan yang dijual dan ini sekali gus menjadikan kami kreatif untuk memberi yang terbaik.

“Apabila pelanggan puas hati, kami pun gembira. Ini sedikit sebanyak meningkatkan kemahiran, menambah pengalaman dalam menguruskan perniagaan,” katanya.


NUR Syazwani mengambil tempahan makanan daripada pelanggan.

Nur Syazwani adalah penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Malaya (UM).

Pembahagian masa perlu diutamakan, akui seorang lagi penuntut Nur Adhwa Wafaa Rusli, 20, kerana tidak mahu pengajian tercicir berikutan menguruskan tapak niaga.

Katanya, dia bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada rakan dan bergilir menguruskan gerai mereka.

“Bukan kejar keuntungan semata-mata, tetapi pengajian juga perlu diutamakan kerana matlamat utama siswa untuk lulus semua subjek.

“Walaupun sedikit penat, kami gembira kerana dapat memuaskan hati pelanggan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Untung yang diperoleh nanti, dapatlah digunakan untuk tampung pengajian termasuk makan minum dan buku nota. Saya juga dapat mengelak daripada meminta wang saku daripada ibu bapa,” katanya yang juga penuntut dalam bidang sains dan teknologi.

Melihat pembabitan penuntut yang bekerja secara sambilan, rata-rata mahasiswa universiti hari ini tidak lagi hanya berpeluk tubuh apatah lagi apabila isu ekonomi mula menghimpit seluruh lapisan masyarakat.


KEBANYAKAN penuntut mengikuti jualan makanan ketika musim konvokesyen sebagai aktiviti kolej kediaman.

Mereka turut menyingsing lengan bersama-sama membantu poket keluarga dan poket sendiri dalam kepadatan jadual seharian di universiti.

Meskipun terpaksa bangun awal pagi untuk membaca nota sebelum ke kelas dan mencuri masa untuk berniaga, ia bukan alasan untuk mereka tidak berjaya dalam pengajian masing-masing.

Apa yang perlu diutamakan, janganlah nanti kerana wang mereka terus gelap mata, harapan ayah dan bonda untuk melihat anak disayangi memegang ijazah pada hari bersejarah musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:18 PM