ISTIADAT konvokesyen AeU.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Seramai 3,227 graduan pelbagai program diraikan pada majlis istiadat konvokesyen Asia e University (AeU) Ke-7 yang berlangsung di, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persidangan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching dan wakil kedutaan asing dari 34 negara Dialog Kerjasama Asia (ACD).

Graduan berkenaan adalah dari Malaysia dan luar negara membabitkan Bangladesh, Brunei, India, Indonesia, Myanmar, Namibia, New Zealand, Pakistan, Filipina, Somalia, Sri Lanka, Vietnam dan Yaman.

Sidang itu membabitkan seramai 994 graduan dari Program Pensiswazahan Guru (PPG), manakala 1,276 atau 40 peratus adalah graduan pasca siswazah dan 1,951 atau 60 peratus adalah ijazah sarjana muda.

Seramai 10 graduan doktor falsafah (PhD) diraikan dengan lima orang memperoleh PhD dalam Pentadbiran Perniagaan dan empat dalam Pendidikan PhD.

Sementara itu, seorang lagi graduan Doktor Pengurusan Perniagaan (DBA) iaitu Dr Mohd Hafiz Ibrahim yang juga alumni Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan penerima Anugerah Pengerusi AeU pada 2013.

Pemegang Anugerah Kecemerlangan Merit Berprestij diberikan kepada Ho Ken Fatt, 44 iaitu graduan MBA.

Beliau menerima tiga anugerah iaitu Chairman’s Award, Mahani Zainal Abidin Award and School Award.

“Saya menjalankan portfolio perniagaan sejak 1997. Program MBA yang diambil pada 2016 menguatkan pengetahuan dan kemahiran perniagaan serta menambah pengalaman perniagaan yang sebenar.

“Keusahawanan adalah pilihan pengkhususan saya. Saya gembira dengan fleksibiliti pembelajaran di AeU yang membolehkan saya belajar di mana-mana atau bila-bila masa tanpa menjejaskan perniagaan dan masa bersama keluarga,” ujarnya.

Penerima Anugerah Chairman’s Award kedua ialah Lee Guek Bee, 51, iaitu graduan Ijazah Sarjana Pendidikan (MEd).

“Kandungan kursus sangat relevan kepada saya sebagai guru sains kanan dan ia sesuai untuk situasi pengajaran di kelas.

“Saya kagum dengan e-perpustakaan yang memberikan akses mudah ke banyak sumber pendidikan di seluruh dunia, “katanya.

Penerima Anugerah President Award ketiga adalah guru bahasa Melayu Norazlina Supaat, 36, yang juga pemegang Sarjana Muda Pendidikan atau BEd

“E-pembelajaran AEU adalah fleksibiliti untuk mengakses bahan pembelajaran, perbincangan secara atas talian (online) pada bila-bila masa dan di mana saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:01 PM