PESERTA meneroka gua menggunakan sistem via seratta yang disediakan oleh pengurusan Gua Damai.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Lelaki ini digelarkan mantan tali kerana kepakarannya mengikat tali pada peralatan aktiviti sukan lasak seperti ‘absailing’, ‘flying fox’, memanjat tebing batu, mendaki dan berjalan (trekking) bagi tujuan keselamatan.

Gelaran itu sangat sesuai dengan dirinya yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan selepas diceburinya lebih 30 tahun lalu selain mendapat pengiktirafan dunia.

Beliau bukan calang-calang orang kerana peranannya begitu besar apabila membangunkan kawasan terbiar menjadi sebuah pusat rekreasi menarik yang terletak di Batu Caves

Selain menamakan kawasan berkenaan Gua Damai, beliau juga tidak berkira membelanjakan wang simpanan lebih RM300,000 semata-mata membangunkan kawasan berkenaan.

Beliau ialah Mustapha Al- Bakri Omar, 67, iaitu individu pertama yang menjumpai kawasan terbabit 20 tahun lalu tetapi usaha itu tidak diketahui umum.


PESERTA mendaki untuk memasuki ke Gua Fig Tree.

Gua Damai berkongsi dengan bukit besar Batu Caves iaitu terletak di bahagian utara bukit berkenaan. Manakala bahagian selatan pula menjadi tempat beribadat agama Hindu.

Berkeluasan kira-kira dua hektar, Gua Damai mempunyai lima gua iaitu Gua Kristal, Gua Anjing, Gua Chili Padi, Gua Ichibawa dan Gua Fig Tree. Namun, ramai tidak mengetahui kewujudan kawasan itu serta gua berkenaan.

Namun begitu, hanya empat gua dibuka kepada umum selain Gua Kristal kerana gua itu (Gua Kristal) dibuka kepada pengkaji atau pelajar dalam jurusan berkenaan.

Ia bertujuan memelihara gua batu kapur itu yang dikatakan mempunyai dinding kristal bergemerlapan apabila disuluh dengan lampu.

Penulis bersama jurugambar Eizairi Shamsudin serta 90 peserta lain, seharian menyertai Eksplorasi Gua Damai anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini berpeluang meneroka Gua Ichibawa, Gua Chili Padi, Gua Fig Tree dan berpeluang melakukan aktiviti ‘absailing’.

Penulis merumuskan, ia satu pengalaman menarik yang sukar dilupakan dan tempat itu sesuai kepada sesiapa saja termasuk mereka yang baru berjinak dengan aktiviti sukan lasak.

Mustapha Al-Bakri yang juga Pengurus Taman Ekstrem Gua Damai berkata, Gua Ichibawa mempunyai sejarah ringkas agak menarik yang mana nama itu adalah sempena orang Jepun pertama menjumpai gua berkenaan sekitar tahun 1906.


PESERTA merangkak dalam Gua Ichibawa.

“Gua ini dipercayai peninggalan pelombong dari China yang dijadikan tempat tinggal mereka ketika menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur

“Selain itu, ciri gua ini adalah lembap kerana dahulunya dipenuhi air setinggi 0.25 meter dan terdapat paip air digunakan pelombong untuk menembak tanah sebagai proses awal mendapatkan bijih timah,”katanya kepada Nuansa.

Katanya, sekarang air itu sudah tidak bertakung di Gua Ichibawa kerana airnya mengalir begitu saja.

Katanya, gua berkenaan dikatakan berusia sekitar 60 atau 65 juta tahun yang ditentukan berdasarkan ukuran lilitan isipadu batu menyerupai tiang (column) di dalam Gua Ichibawa.

“Pembentukan satu sentimeter (cm) column gua ini mengambil masa selama 60 tahun.

“Kami dapat tahu nama gua ini (Ichibawa) daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) iaitu sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menjaga gua satu Malaysia,” katanya.

Tambah menarik katanya, gua itu unik kerana kedudukannya separas dengan permukaan laut dan beliau turut menjumpai banyak artifak Dinasti Ming seperti mangkuk dalam gua terbabit tetapi sudah dikeluarkan.

Berkongsi pengalaman membuka Gua Damai, anak kelahiran Terengganu itu berkata, ia bermula dengan perpindahan penempatan setinggan Seri Gombak ke Kampung Wira Damai yang terletak kira-kira 100 meter dari kampung berkenaan.


PESERTA menghayati keindahan Gua Ichibawa.

Katanya lagi, beliau adalah penduduk Kampung Wira Damai dan selepas mendapati kawasan itu ada banyak gua, lalu mengambil keputusan menamakan kawasan terbabit sebagai Gua Damai.

“Setiap hari saya lihat Gua Damai (pada masa itu masih tiada nama) menerusi tingkap dari rumah.

“Walaupun ketika itu Gua Damai dilitupi tumbuhan liar tetapi saya sudah tertarik dengan keindahan batuannya.

“Saya bersama 30 ahli Gerakan Belia 4B bekerjasama membersihkan kawasan berkenaan terutamanya di bahagian luar dinding Gua Fig Tree selama setahun,” katanya.

Menurutnya yang juga Perunding ‘Outdoor’ berkata, beliau menggunakan kepakaran membangunkan Gua Damai sehingga membolehkan aktiviti seperti ‘absailing’, ‘Flying Fox’ dan memanjat tebing batu, dilakukan di sini.

“Ia bukan satu tugas yang mudah selain menuntut pengorbanan besar dengan membelanjakan banyak wang kerana kos membeli kelengkapan peralatan untuk kesemua aktiviti ini adalah mahal.

“Setiap lima tahun kesemua peralatan ini perlu ditukar bagi menjamin keselamatan peserta,” katanya.


PESERTA mencuba aktiviti ‘absailing’ .

Jelasnya, beliau menjejaki kesan kambing gurun yang terdapat di gua berkenaan sebagai panduan membina laluan ‘trekking’ untuk menghubungkan ke gua bagi aktiviti penerokaan Gua Ichibawa, Gua Chili Padi dan Gua Fig Tree.

Mustapha Al-Bakri berkata, beliau membangunkan Gua Damai bukan bermotifkan keuntungan tetapi didorong oleh minat mendalam terhadap aktiviti sukan lasak.

“Saya tidak kisah mengeluarkan banyak wang simpanan kerana lebih penting adalah kepuasan diri.

“Saya bekerjasama dengan MPS memperomosikan Gua Damai yang juga dikenali Taman Extreme Gua Damai kepada umum supaya menjadi terkenal di Selangor,” katanya.


PESERTA bergambar di hadapan Gua Fig tree.

Sementara itu Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, usaha mempromosikan Gua Damai turut dilakukan di peringkat antarabangsa dengan mengadakan program GUA DAMAI International BASE Jump 2017 baru-baru ini.

“Taman ini sudah menerima peruntukan kira-kira RM1.2 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam membangunkan kemudahan insfrastruktur seperti membina dataran, tandas dan membesarkan kawasan untuk aktiviti memanjat tebing batu.

“Kita menyasarkan peningkatan 10 peratus pengunjung setiap tahun selain mempertahankan sebagai satu tarikan warisan di kawasan Batu Caves,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:34 AM