PUNCAK Gunung Nenek Semukut dan Batu Simau adalah batuan granit tertinggi antara laluan pendakian paling sukar di rantau ini.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Gunung Nenek Semukut dengan pasangannya, Batu Simau sentiasa menjadi sebahagian daripada ‘cerita’ bagi sesiapa saja yang berkunjung ke Pulau Tioman.

Dari dalam feri sebaik Pulau Tioman mula kelihatan, mata pasti tertumpu ke arah puncak berkembar Gunung Nenek Semukut yang terletak di bahagian selatan pulau legenda itu.

Puncak berkembar itu dikatakan ‘tanduk’ puteri naga yang menukarkan dirinya menjadi Pulau Tioman.

Selain menyerupai sepasang cula naga yang terbaring lena, Gunung Nenek Semukut juga dikenali dengan formasi wajah manusia yang ‘terukir’ pada puncaknya.

Imej bukit batunya itu menyerupai muka seorang lelaki yang lengkap dengan dahi, hidung, mulut dan dagu.

Berdiri pada ketinggian kira-kira 703 meter dari paras laut, puncak Nenek Semukut dan Batu Simau adalah batuan granit tertinggi dalam ukuran 90 darjah menegak di Malaysia dan tersenarai antara laluan pendakian paling sukar di rantau ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, bermula dari ‘check point’ sembilan setengah, hanya pendaki ekstrem atau ‘hard core climbers’ akan meneruskan misi sehingga ke ‘check point’ 10 iaitu di puncak Nenek Semukut yang memakan masa lima hari untuk mendaki dan menuruninya.


IDROS menggunakan tali keselamatan ketika memanjat bongkah batu ketika mendaki Gunung Nenek Semukut.

“Pendaki ‘gila-gila’ ini kebiasaannya akan bergerak dalam kumpulan kecil secara bersendirian atau menggunakan khidmat pemandu pelancong tempatan dengan kadar bayaran tertentu ditetapkan sebelum ekspedisi bermula.

“Apa yang penting dan wajib dilakukan adalah pendaki terlebih dulu perlu memaklumkan kepada pengusaha bilik penginapan, chalet atau resort yang mereka sewa bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika ditemui sempena program Start in Tioman (SIT) 2017 anjuran Damai Tioman Resort, Kampung Genting, Pulau Tioman, baru-baru ini.

Idros berkata, walaupun laluan mendaki batuan granit sukar dan berbahaya, pendaki ekstrem tetap ‘berhajat’ melakukan misi itu walaupun terpaksa tidur dalam keadaan ‘tergantung’ dan di lokasi sedia ada sebelumnya.

Katanya, trek untuk memanjat bukit batu sampai ke puncak dan tali keselamatan memang sudah disediakan dan pendaki hanya perlu melalui trek sama bagi tujuan itu.

“Pendaki juga akan bermalam di puncak bukit bagi merakam detik paling istimewa dalam hidup mereka dengan melihat keindahan sekeliling Pulau Tioman sebelum turun keesokan harinya.

“Kebanyakan pendaki adalah dari luar negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat selain pendaki tempatan. Kita menghargai usaha mereka menjejakkan kaki di puncak Gunung Nenek Semukut yang penuh dengan legendanya yang tersendiri,” katanya.

Penulis pula tidak sanggup untuk membayangkan bagaimana pendaki tidur dalam keadaan tergantung yang mungkin tidak jauh bezanya dengan cara keluang dan kelawar yang lazimnya tidur dalam keadaan seperti itu.

Sempena program SIT, penulis berkesempatan ‘menghambakan diri’ mendaki Gunung Nenek Semukut dengan menyertai kumpulan 23 peserta dari Kolej Komuniti Kota Tinggi, Johor dan SIT bagi menguji ketahanan mental dan fizikal biarpun pada usia melebihi separuh abad.


MUSA menerangkan kegunaan daun pokok senduduk yang boleh menggantikan sabun kepada peserta ekspedisi.

Ekspedisi kali ini mengambil masa hampir enam jam turun dan naik disebabkan bilangan peserta yang ramai berbanding antara dua hingga tiga jam saja jika bergerak dalam kumpulan tiga sehingga tujuh orang.

Walaupun penat tetapi semangat ‘Nenek Semukut’ tetap ada dalam diri penulis menyebabkan perjalanan sukar berjaya ditempuh sehingga ke ‘check point’ terakhir (sembilan setengah) untuk pendakian biasa.

Di peringkat permulaan trek, peserta disajikan pemandangan menghijau kawasan hutan untuk tempoh perjalanan yang mengambil masa hampir 15 minit dari jeti Kampung Mukut sebelum tiba ke pintu masuk Gunung Nenek Semukut.

Pemandu pelancong, Musa Said, 45, berkata, ekspedisi mendaki Gunung Nenek Semukut antara yang mencabar ketahanan fizikal peserta kerana hampir keseluruhan trek sentiasa ke arah mendaki.

Dia yang berpengalaman sebagai pemandu pelancong berlesen sejak empat tahun lalu berkata, peserta juga berpeluang bertemu beberapa spesies flora dan fauna yang jarang ditemui yang menambahkan lagi keunikan hutan tropika itu.

Katanya, selepas melepasi ‘pintu gerbang’ ekspedisi diteruskan dengan merentasi kawasan hutan dan berpeluang menemui pelbagai jenis tumbuhan seperti buluh, rotan, kabung, senduduk, kapal terbang dan periuk kera serta tongkat ali.


ANTARA serangga yang ditemui ketika mendaki Gunung Nenek Semukut.

Semakin jauh ke dalam hutan, peserta perlu mendaki dengan melalui laluan antara bongkah batu selain ada trek yang ‘memaksa’ peserta berjalan membongkok dan mengengsot ketika melalui bawah perdu buluh dan celah batu dengan laluan agak sempit untuk dibolosi.

Laluan yang ada bongkah batu besar nyata menguji ketangkasan dan kecekapan peserta apabila perlu memanjat dengan memegang tali yang dipasang sebagai langkah keselamatan ketika melalui kawasan berbahaya itu.

Ketika mendaki peserta perlu melangkah beberapa batang pokok besar yang tumbang selain akar pokok berjuntaian dan tertanam di bahagian permukaan trek menyebabkan mata perlu ‘tajam’ dan lebih berhati-hati untuk mengelak tersadung.

Bagi yang sukakan panorama dan keindahan alam semula jadi, tempoh mendaki mungkin lebih lama untuk merakam gambar menarik sepanjang trek sejauh hampir lima kilometer itu.

Sebaik tiba di lokasi ‘celah batuan’ dan sedikit kawasan berehat lebih selamat selepas hampir tiga jam perjalanan iaitu di ‘check point’ sembilan setengah, jelas tergambar pada raut wajah peserta apabila berpeluang mencuci mata melihat keindahan Kampung Mukut dan kawasan pantai terbentang luas di depan mata sebelum turun melalui trek sama.

Paling penting berswafoto untuk dijadikan bahan bukti yang kami sudah menjejakkan kaki di hutan ‘milik’ Nenek Semukut sebelum mengumpul tenaga untuk turun dan mengakhiri ekspedisi dengan jayanya.


PESERTA ekspedisi merakam kenangan berlatarbelakang Gunung Nenek Semukut.

INFO

• Rupa bentuk bumi Pulau Tioman yang hampir 80 peratus berbukit dan bertebing tinggi dengan formasi batu granit dan bukit-bukau beralun menjadi daya tarikan untuk sukan ekstrem mendaki bukit dan memanjat tebing cerun curam.

• Gunung Nenek Semukut atau digelar Dragon Horns mendapat namanya kerana kelihatan seperti dua tanduk naga adalah puncak berkembar bersama Gunung Batu Simau yang terletak di bahagian selatan Pulau Tioman.

• Puncak berkembar itu dikatakan ‘tanduk’ puteri naga yang menukarkan dirinya menjadi Pulau Tioman.

• Gunung Nenek Semukut mungkin tidak dikenali di Malaysia tapi di peringkat antarabangsa, ia dianggap salah satu daripada syurga mendaki tebing di Asia Tenggara.

• Jika dilihat kira-kira 10 kilometer dari arah Kuala Rompin, Gunung Nenek Semukut mempunyai dua puncak batu tajam menyerupai bentuk tanduk naga manakala kawasan tengah dan utara pulau kelihatan berbukit dan landai, masing-masing menyamai bentuk badan dan ekor haiwan itu.

• Ditawan kali pertama pada tahun 2000 oleh Scott C Nelson dari California, Amerika Syarikat dan Nick Tamlin dari England yang mengambil masa lima hari untuk sampai ke puncaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 12:24 PM