SESI penerangan kepada murid.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Di kebanyakan negara maju, konsep pertanian bandar sudah lama diperkenalkan dan diamalkan bagi membantu usaha mendepani isu bekalan makanan segar secara cekap serta selamat.

Sehubungan itu, sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) daripada kelab keusahawanan yang dikenali sebagai Enactus mengambil inisiatif memperkenalkan konsep pertanian bandar ini kepada pelajar sekolah.

Kaedah pertanian ini diperkenalkan melalui Mini Agrobox iaitu sistem akuaponik yang bersaiz kecil dan boleh diselenggara dengan mudah.

Sistem ini menggabungkan penternakan ikan air tawar seperti tilapia merah dan sayuran yang cepat dituai seperti salad dan sawi.

Malah Mini Agrobox ini membantu mengatasi kekurangan pergantungan kepada tanah kerana ia menggunakan ruang yang minimum.

Sekolah yang terpilih untuk menerima sistem Mini Agrobox pertama ini adalah Sekolah Rendah Agama Al-Amin di Gombak, Selangor.

Seramai 30 murid daripada tahun satu hingga lima yang juga ahli Kelab Bumi Hijau sekolah diberi kepercayaan mengendalikan Mini Agrobox berkenaan.


SUKARELAWAN UM bersama sebahagian peserta.

Mini Agrobox versi mini adalah inisiatif yang dibangunkan Pusat Keusahawanan UM (UMEC) yang pada asalnya menggunakan sistem akuaponik di dalam sebuah kontena bersaiz 6 meter panjang.

Pengarah UMEC, Profesor Dr Suhaiza Hanim Mohamad Zailani berkata, sistem akuaponik mini ini dibangunkan sebagai usaha UMEC untuk mendekati masyarakat dan berkongsi pengetahuan dalam mendepani cabaran urbanisasi yang dihadapi sekarang.

“Akuaponik adalah kaedah penanaman tanpa menggunakan tanah yang hanya memerlukan pengaliran air daripada tangki ikan ke akar tanaman disemai dalam sabut dan sekam bakar.

“Nutrisi tambahan dalam bentuk bahan organik turut disembur kepada tanaman dari semasa ke semasa bagi menggalakkan tumbesaran,” katanya.

Katanya, kelestarian kaedah akuaponik itu juga terjamin kerana air buangan daripada tangki pemeliharaan ikan yang sebahagian besarnya mengandungi ammonia akan dikitar semula ke akar pokok atau sayur yang akan menyerapnya.

Guru Penasihat Kelab Bumi Hijau Sekolah Rendah Agama Al-Amin, Nurul Izzati Rosli berkata, murid bukan saja didedahkan ilmu di dalam kelas, malah mereka juga perlu mempelajari ilmu dari luar.


SALAD antara jenis tanaman yang ditanam.

“Mini Agrobox adalah medium yang dapat digunakan murid untuk belajar berkenaan ilmu di luar kelas dan dapat dijadikan sebagai satu aktiviti rekreasi,” katanya.

Beliau juga memaklumkan dengan adanya Mini Agrobox di sekolah, murid menjadi aktif untuk menjalankan aktiviti di luar kelas kerana gembira menguruskan hasil tanaman yang dijaga semakin membesar dengan sempurna.

“Melihat perkembangan Mini Agrobox yang positif dan menggalakkan, saya percaya sistem tanaman akuaponik adalah penyelesaian yang boleh meningkatkan taraf hidup serta kesihatan penduduk di bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 2:03 PM