SUASANA perkampungan nelayan yang jarang dilihat.
MINNATURE tawar keseronokan dan keunikan model minitur.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Miniatur adalah model berskala mikro menyerupai suatu objek yang ciri-cirinya dipelihara namun tidak semestinya mirip sepenuhnya. Objek itu pula merangkumi pelbagai benda termasuk bangunan, perkakasan, pengangkutan dan peralatan.

Setiap model berskala mikro pula menggunakan sistem nisbah untuk menentukan saiz objek apabila dikecilkan bagi menghasilkan saiz setiap bangunan, manusia, pokok atau kereta adalah seragam di alam miniatur.

Kebanyakannya menggunakan nisbah 1:87.0857142 atau 1:87 bagi mencipta miniatur yang sebenar-benarnya.

Membaca fakta mengenai model miniatur saja sudah mengujakan inikan pula melihatnya sendiri dalam suasana yang pelbagai dengan lebih dekat.

KUALA Lumpur di dunia MinNature.

Ditambah pula dengan keharmonian dalam setiap penceritaan yang diketengahkan, suara latar dan pergerakan model miniatur yang bagaikan hidup. Ia sememangnya cukup mengujakan.

Inginkan sesuatu yang terbaru, unik dan padat dengan ilmu dari pelbagai sudut, MinNature di Tingkat 4, Summit USJ, Subang Jaya, Selangor adalah lokasi yang mesti anda kunjungi.

MinNature bermula daripada satu idea untuk membina satu taman rekaan berskala mikro untuk semua orang mengalami dunia ‘miniatur’ yang menarik.

Selain itu, MinNature dibina dengan cita-cita untuk mempamerkan bangunan bersejarah, ikonik, kesenian arkitek, memaparkan kekayaan dan kepelbagaian sejarah, warisan, karya, budaya masyarakat, legenda dan cerita rakyat di Malaysia.

Menariknya, setiap model dan diorama yang diperlihatkan di sini direka bentuk kemudian dicetak menggunakan mesin khas tiga dimensi (3D) sekali gus menjadikan ia World’s Largest 3D Printed Miniature Wonderland.

SUASANA di konsert.

Terpegun dan terpesona. Hanya itu yang penulis boleh gambarkan saat melihat sendiri keunikan yang diketengahkan MinNature buat pengunjungnya.

Mana tidaknya, setiap apa yang dipamerkan di sini bukan hanya sekadar barang pameran tetapi ia persis suasana kehidupan seharian yang berlaku di setiap lokasi.

Pengarah Urusan Miniature Wonders Sdn Bhd dan pengasas bersama MinNature Chan Chee Wing, berkata idea mewujudkan MinNature ini tercetus bagi menghasilkan sesuatu yang unik untuk diperlihatkan kepada dunia dan generasi baru.

Katanya, ketika melancong, kita akan melihat banyak tempat atau produk pelancongan yang lebih baik daripada apa yang kita ada. Mereka ada, kita tiada. Kita ada tetapi mereka lebih baik daripada kita.

“Jadi, saya bersama rakan memikir cara untuk menghasilkan sesuatu yang unik apabila Malaysia boleh hasilkan sesuatu yang menarik untuk generasi baru.

“Idea untuk mewujudkan MinNature ini diperoleh dari Jerman dengan menghasilkan pameran model miniatur yang boleh di lihat kini,” katanya.

MinNature ini juga bukan hanya sekadar destinasi menarik yang boleh dikunjungi semua peringkat umur tetapi ia juga memberikan ilmu dan pendidikan daripada banyak aspek.

SUASANA perkampungan nelayan yang jarang dilihat.

“Mulanya, kami membina MinNature ini untuk memberikan pendidikan buat pengunjung apabila mereka boleh mempelajari banyak benda mengenai seni, budaya, sains dan teknologi, kejuruteraan serta sejarah dengan bangunan ikonik yang dipamerkan.

“Namun kini, kami juga dalam usaha untuk mempromosikan MinNature ini sebagai destinasi pelancongan yang bermaklumat bukan saja untuk pelancong tempatan tetapi juga pelancongan antarabangsa,” katanya.

Menjadi Pameran Miniatur dan Kereta Api Tertutup terbesar di Asia dan ketiga di dunia, ruang pameran seluas 17,000 kaki persegi yang merangkumi paparan bacaan, bilik multimedia, ruang pameran, fotobooth, bengkel masterbuilder serta kedai cenderahati. MinNature ini sangat sesuai untuk semua peringkat umur.

Setiap pameran tunggal di dalam MinNature ini adalah buatan tangan dan ia di buat di Malaysia. Ia pameran secara langsung apabila setiap minggu, akan ada model dan diorama terbaru dimasukkan.

SENARIO kehidupan masyarakat setempat turut diperlihatkan di setiap miniatur yang dipamerkan.

Jadi, apa yang anda lihat hari ini mungkin tidak sama pada bulan depan atau tahun depan. Pendek kata, setiap langkah yang diatur masuk ke MinNature tawar pengalaman baru yang indah.

Terbahagi kepada beberapa zon pameran iaitu Kehidupan Kampung, Pelabuhan, Industrial Park, Leisure Park, The Banjaran, Kompleks Sukan Minature, The Dataran dan banyak lagi yang cukup mengujakan.

Menariknya, dengan mengetengahkan konsep pameran terbuka tanpa halangan, pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat dan terperinci keajaiban serta keunikan model yang ada.

Bukan itu saja, pengunjung juga boleh melihat suasana dan senario sebenar masyarakat kita yang dipaparkan di setiap miniatur yang dipamerkan.

Memulakan penerokaan di MinNature yang juga bermaksud ‘benda paling kecil yang semula jadi’, suasana kampung dilengkapi gunung-ganang, sawah padi, tanah perkuburan dan kandang lembu di tanah tinggi membuatkan pengunjung terpukau.

Suara latar, gonggongan anjing, ayam, itik serta senario sebenar suasana kampung terutama di Malaysia bagai membawa pengunjung pulang ke kampung halaman.

TREASURE Hunt dengan mencari benda ganjil di setiap seksyen menambahkan keseronokan pengunjung.

Ia kemudian disusuli suasana di pelabuhan yang cukup sibuk. Terdapat juga perkampungan nelayan dengan masyarakatnya sibuk dengan urusan seharian yang turut diperlihatkan di sebalik kesibukan pelabuhan di pesisir pantai itu.

Beranjak sedikit ke hadapan, kawasan perindustrian membuka mata terutama kanak-kanak untuk melihat sendiri tenaga yang digunakan mereka di rumah terhasil.

Di satu sudut yang panjang, terpapar diorama kecil yang menggambarkan kesibukan dan kemeriahan di taman tema, taman hidupan liar, taman tema air dan kawasan perkhemahan yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi.

Kalau dilihat dengan lebih dekat dan teliti, setiap diorama orang yang di pamerkan melakukan pelbagai aktiviti berlainan dan ia memperlihatkan tempat itu bagaikan hidup.

FAVELA MinNature menggambarkan suasana rumah setinggan di Favela, Brazil.

Favela MinNature yang diilhamkan daripada perkampungan setinggan di Brazil juga mencuri perhatian. Perkampungan Hobbiton dengan suasana persis di New Zealand itu juga tidak kurang hebatnya.

Terlihat rumah Hobitton yang unik dan suasana masyarakatnya yang diperlihatkan tinggal dalam kedamaian.

Meneruskan langkah ke selekoh lainnya, suasana kehidupan masyarakat yang tinggal di apartmen dan kesibukan di Kompleks Sukan MinNature sememangnya cukup mengujakan.

Untuk lebih menghayati penerokaan di MinNature ini, pengunjung digalakkan untuk melihat dengan teliti diorama yang dipamerkan bagi menikmati jalan cerita dan misteri di sebalik setiap apa yang dipamerkan.

Bagi pengunjung dewasa, mencangkung atau melihat setiap setiap model dan diorama menerusi tahap penglihatan kanak-kanak akan memberikan satu pandangan yang luar biasa.

KESIBUKAN sebenar di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad yang digambarkan menerusi minitur.

Kepesatan dan kesibukan kehidupan di bandar raya Kuala Lumpur dapat dilihat di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Selain bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur serta Bangunan Sultan Abdul Samad, kawasan sekitarnya juga dipenuhi dengan pejabat dan restoran yang dipenuhi pengunjung.

Kereta yang memenuhi jalan raya di kawasan bandar raya ini juga menunjukkan kesibukan warga kota yang sememangnya sama dengan dunia realiti.

Puas merakam setiap apa yang dipaparkan, mencuba sendiri membuat miniatur di bengkel Master Builder menguji kreativiti pengunjung terutama kanak-kanak.

AKTIVITI DIY memberi peluang kepada pengunjung terutama kanak-kanak menghasilkan sendiri model minitur mereka.

Selain itu, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pencarian harta karun yang pasti akan menjadikan penjelajahan anda di MinNature sangat menghiburkan dan menyeronokkan.

Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan tiket berharga RM38 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun serta warga emas, MinNature ini juga mudah diakses dengan pelbagai pengangkutan awam termasuk bas awam, teksi, UBER, GRAB, LRT, KTM dan BRT.

Untuk maklumat lanjut, layari www. minnature.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 11:32 AM