KAKITANGAN BBBR menunjukkan hidangan belangkas.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Menikmati keenakan makanan tempatan saat melancong sememangnya sesuatu yang mengujakan. Walaupun berada di dalam Malaysia, setiap negeri, daerah dan tempat di negara ini punya sajian istimewa tersendiri.

Tidak kurang juga yang menghidangkan makanan eksotik yang juga punya peminat tersendiri.

Hidangan belangkas dan siput gonggong? Pernahkah anda mencubanya? Apakah rasanya?

Jika ingin merasai sendiri keenakan makanan eksotik ini, Bayu Balau Beach Resort (BBBR) menyediakan hidangan ini untuk penggemarnya.

Penolong Pengurus Kejora Hospitality dan Services Sdn Bhd (Kejora Hospitality) Fadilah Mohamad berkata, BBBR sangat popular dan sentiasa menjadi tumpuan penggemar hidangan eksotik terutama belangkas dan siput gonggong.

“Di sini, pengunjung boleh menikmati hidangan belangkas masak asam pedas atau lemak cili api mengikut selera masing-masing. Hidangan selera kampung turut disediakan mengikut tempahan,” katanya.

Terletak di Tanjung Balau, BBBR yang dulunya dikenali sebagai D’Balau Nelayan Chalet, kedudukannya di tepi pantai Tanjung Balau menjadi tumpuan terutama semasa musim cuti persekolahan.


PERSEKITARAN BBBR.

Menurut Fadilah, BBBR menawarkan 108 bilik yang terdiri daripada 80 unit standard, lapan unit deluxe, lapan unit family deluxe, 10 unit villa dan dua unit villa grand pool.

“Setiap bilik bercirikan konsep moden, selesa dan menjadi pilihan masa kini. Villa grand pool dilengkapi kolam mini bersaiz jakuzi yang memberikan keselesaan dan meningkatkan kualiti untuk memenuhi keperluan tetamu.

“Hotel ini turut dilengkapi kemudahan seperti bilik diskusi, dewan, ruangan mesyuarat, restoran dan kolam renang.

“Kawasan hotel ini berhampiran dengan pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau. Di samping itu, tetamu boleh merasai keindahan alam semula jadi,” katanya yang ditemui ketika Program Road to Agrotourism anjuran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Selain bilik hotel, BBBR juga menawarkan 17 unit chalet, enam unit dorm, dua unit bilik keluarga dan lapan unit superior buat pengunjung.

Menariknya kata Fadilah, setiap bilik chalet ini bercirikan konsep chalet kampung nelayan, unik dan selesa untuk dikunjungi.

“Mereka yang sukakan ketenangan dan jauh dari hiruk-pikuk kota boleh menenangkan minda sambil menikmati keindahan pantai di Tanjung Balau,” katanya.


BBBR tawar penginapan yang luas dan selesa buat pengunjung.

Justeru, bagi yang ingin mencari kelainan saat menginap di hotel mahupun chalet, BBBR pastinya tidak mengecewakan.

BBBR turut menawarkan pakej menarik buat pengunjung iaitu pakej hari keluarga, pakej seminar, pakej pelajar dan pakej mesyuarat dengan harga yang sangat berpatutan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook menerusi Bayu Balau Beach Resort Hotel atau laman web di www.kejorahospitality.wordpress.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 11:47 AM