PERSEMBAHAN kompang di hadapan kanak-kanak Jepun.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Paluan kompang yang bergema di daerah Chofu, Tokyo berjaya menarik minat hampir 2,000 ‘samurai’ di sana untuk mencuba pakaian tradisional kita iaitu baju kurung dan baju Melayu.

Lebih membanggakan apabila pasukan mobiliti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut mendapat jemputan untuk membuat persembahan kompang daripada Majlis Daerah Chofu sempena Majlis Praperasmian Sukan Olimpik 2020.

Itu antara pengalaman manis dilalui 14 mahasiswa dan empat pegawai pengiring dari UTHM yang menyertai program mobiliti berkredit outbound UTHM-TUFS, Jepun, baru-baru ini.

PALUAN kompang menarik warga Jepun.

Program mobiliti yang diketuai Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran Dr Khairunesa Isa ini adalah program mobiliti outbound sulung Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK).

Selaras dengan Visi PPUK untuk menjadi pusat akademik bertaraf dunia yang memupuk nilai holistik dan mandiri dalam kalangan graduan untuk kebaikan kehidupan sejagat.

Malah program yang bertemakan Jerayawara Melayu UTHM-TUFS-CHOFU itu dilihat sebagai program rintis bagi melihat impaknya kepada mahasiswa dan universiti.

Beberapa aktiviti menarik dilaksanakan dalam program itu antaranya aktiviti perkongsian ilmu di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS).

KANAK-KANAK Jepun menggayakan baju kurung.

“Dalam program ini, pelajar Jepun yang mengambil kursus bahasa Melayu berdebat dengan pelajar UTHM sementara sebahagian lagi pelajar TUFS diajar menulis tulisan khat.

“Program yang berlangsung selama hampir empat jam itu diakhiri dengan Majlis Praperasmian FIESKOM 2017 oleh Profesor Soda iaitu Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Melayu di TUFS.

“Perasmian ini secara tidak langsung mengangkat FIESKOM 2017 anjuran PPUK sebagai program di peringkat antarabangsa,” kata Dr Khairunesa.

Katanya, peserta mobiliti turut menerima jemputan daripada Sekolah Rendah Jindaiji untuk berkongsi keunikan seni gendang budaya.

KUMPULAN kompang bergambar kenangan.

Bermula dengan sesi pengenalan Malaysia dan UTHM, anak ‘samurai’ di sana juga diperkenalkan dengan manual membuat kompang serta kemahiran bermain kompang.

“Apa yang menarik, penuntut UTHM dan pelajar Sekolah Rendah Jindaiji membuat persembahan menggabungkan antara gendang Jepun dan kompang Malaysia.

“Bukan hanya mahu mencuba pakaian tradisional masyarakat Melayu, mereka juga mahu belajar memalu kompang kerana jarang menemui peralatan muzik itu,” katanya.

Menurut ketua persembahan kompang Ahmad Wafri Ahmad Wardi, 19, pengalaman mengetuai persembahan kompang adalah pengiktirafan terbesar dalam hidupnya.

PESERTA bergambar kenangan bersama bendera Malaysia dan UTHM.

Katanya, walaupun sudah memenangi banyak pertandingan kompang pada peringkat kebangsaan sejak berusia 11 tahun, pengalaman bermain di prapelancaran Olimpik 2020 Jepun adalah kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hidupnya begitu juga rakan.

“Pemilihan menyertai program mobiliti ini menjadi platform terbaik saya dan mahasiswa lain untuk meneroka pengetahuan yang boleh diaplikasikan di universiti (UTHM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 1:34 PM