DR MUSA (lima dari kiri) bersama peserta Gap Year.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Enam siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi kumpulan sulung penuntut universiti awam yang menyertai Program Gap Year di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Program Gap Year diumumkan ketika Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2017 bagi memenuhi Lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu melahirkan graduan holistik, seimbang dan bercirikan keusahawanan.

Satu pertemuan khas kumpulan penuntut ini bersama Naib Canselor USIM Profesor Datuk Dr Musa Ahmad diadakan bagi menyampaikan amanat dan penyerahan bendera universiti sebelum bertolak ke Kampung Buluh Nipis, Bandar Muadzam, Pahang bagi program pertama mereka dengan masyarakat Orang Asli di sana.

Mereka terdiri daripada Mohamad Hassanudin Abu Jamil (Sarjana Muda Quran Dengan Multimedia), Mohammad Syafiq Rosli (Sarjana Muda Quran Dengan Multimedia), Noorsyafiqah Shaharuddin (Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah), Fatimah Adilah Elias (Sarjana Muda Sunnah Pengurusan Maklumat), Nazratun Nadiah Sa’don (Sarjana Muda Al-Quran Dan Sunnah) dan Sayidatul Aqbaar Zakaria (Sarjana Muda Akidah & Agama).

“Kami sangat berbangga atas semangat kesukarelawanan yang ditonjolkan siswa USIM untuk menyertai Gap Year ini.

“Mereka akan terbabit sepenuh masa selama setahun yang memerlukan menangguhkan pengajian di universiti (semester) bermula semester ini.

“Sepanjang tempoh ini, siswa kami akan terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk membuat refleksi dan penerokaan diri menerusi program kesukarelawanan anjuran IRM di seluruh negara”.

DR Musa (kiri) beramah mesra dengan peserta Gap Year.

“Mereka menjadi kumpulan pertama siswa USIM menyertai Gap Year dan kumpulan perintis di peringkat universiti awam. Pembabitan mereka secara langsung menunjukkan universiti serius menyahut hasrat dan amanat Menteri Pendidikan Tinggi untuk menjayakannya.

“Harapan saya dan universiti ingin melihat melalui platform ini membantu mereka untuk lebih matang dan bersedia menjadi ejen perubahan dalam masyarakat kelak, berbakti dan berbudi dengan ikhlas, menerokai pengalaman baru di luar bilik kuliah serta bertindak sebagai duta USIM “ kata Dr Musa.

Peserta, Mohamad Syafiq berkata, dia sangat meminati program khidmat komuniti dan kesukarelawan bersama masyarakat dan banyak menyertai program anjuran universiti sebelum ini.

Melalui Gap Year ini, dia tidak berasa rugi menangguhkan pengajian untuk tempoh yang lama kerana ia membuka peluang baru untuknya lebih lama bergelumang dan menyumbang bakti kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Turut berkongsi aspirasi yang sama bersama teman USIM lain yang menyertai Gap Year, program itu dilihat membentuk diri mereka menjadi mahasiswa lebih berketerampilan, berkepemimpinan dan berkeyakinan.

Program Gap Year terdapat dalam tiga bentuk iaitu Gap Year Kesukarelawan Khidmat Negara, Gap Year Kesukarelawan dan Gap Year Umum.

Siswa USIM yang memilih Gap Year Kesukarelawan ini bakal terbabit dengan pelbagai projek yang disusun bersama IRM di pelbagai lokasi antaranya di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Projek yang diatur meliputi pelbagai kumpulan sasar iaitu Orang Asli, nelayan, petani, gelandangan, masyarakat umum, fakir miskin dan mualaf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 1:28 PM