SUKARELAWAN mengagihkan sumbangan kepada Orang Asli
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Perjalanan selama empat jam dirasakan terlalu lama lebih-lebih lagi apabila terpaksa menempuh laluan mencabar sejauh 50 kilometer untuk tiba ke Kampung Pos Sederut, Raub, Pahang dari jalan utama.

Ada antara sukarelawan berasa tidak selesa seperti hendak muntah apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka melalui jalan tidak sempurna iaitu rosak, tidak berturap dan becak.

Dalam erti kata mudah, perjalanan itu menguji kesabaran dan ketahanan fizikal serta mental mereka. Namun, demi menyempurnakan aktiviti kemasyarakatan dan menyampaikan bantuan di kampung berkenaan, segalanya dapat ditempuhi dengan mudah.

Itu usaha murni dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empire Project dengan kerjasama beberapa NGO lain iaitu SMUTAA TEAM 4x4 , BENTONG TREKKER 4x4 dan KLAU 4x4 dalam kerja amal bersama penduduk Orang Asli di Pos Senderut, baru-baru ini.


ANAK Orang Asli menyertai program Saringan Kreativiti IQ.

Bergerak jam 5.30 pagi dari Kelana Jaya dan setibanya ke kampung itu empat jam kemudian, perasaan sukarelawan bercampur-baur apabila melihat rumah Orang Asli yang masih berbumbungkan atap nipah dan dinding kulit kayu. Hanya 10 peratus rumah dibina menggunakan konkrit dalam keadaan sempurna.

Aktiviti pertama dilakukan sukarelawan menjejakkan kaki di kampung itu ialah bergotong-royong memasak secara beramai-ramai untuk makanan tengah hari bersama penduduk Orang Asli.

Pengasas Empire Project Mohd Ashraff Khan Md Najib berkata, itu adalah program julung kali pertubuhan berkenaan menyantuni Orang Asli yang sebelum ini sudah banyak membantu golongan lain.

“Kami pilih Orang Asli Kampung Pos Sederut kerana diajak SMUTAA TEAM 4x4 untuk turun padang melihat penduduk di kawasan berkenaan.

“Ini kerana sebelum ini kami (Empire Project) hanya beri barangan keperluan kepada SMUTAA TEAM 4X4 untuk disampaikan kepada penduduk terbabit, tetapi tidak pernah bertemu Orang Asli berkenaan,” katanya.

Katanya, sumbangan diberikan berupa barangan keperluan kepada 50 keluarga Orang Asli, pakaian, sukaneka dan gotong-royong.

“Jarak kampung mereka dengan jalan utama yang jauh selain keadaan jalan tidak sempurna menyebabkan Orang Asli itu sukar untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan.

“Jika ada, harga barangan itu lebih mahal disebabkan kos penghantaran,”katanya.


SUKARELAWAN bergambar selepas selesai program berkenaan.

Mohd Ashraff Khan berkata, Empire Project turut menjalankan program Saringan Kreativiti IQ yang mana setiap kanak-kanak diminta melukis dan menulis. Dengan cara itu, membolehkan sukarelawan melihat daya kreativiti mereka.

“Selain itu, kami juga mengadakan program Kids Free Market untuk anak Orang Asli, mereka diberikan pilihan memilih tiga barang yang disediakan bertujuan mendidik mereka meminta secara baik dan mengucapkan terima kasih selepas menerima barangan.

“Kami akan mengadakan program ini secara lebih kerap supaya lebih ramai golongan mendapat manfaat secara keseluruhan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:29 PM