MENUNGGANG ATV beri keterujaan tersendiri.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Bersiar-siar menghirup udara segar di keheningan pagi dengan pemandangan bukit-bukau menghijau menjadikan permulaan hari itu cukup mendamaikan.

Menambahkan keterujaan dan keseronokan dalam menghayati keindahan alam semula jadi yang disajikan, menunggang kenderaan pelbagai permukaan atau All Terrain Vehicle (ATV) nyata meninggalkan kenangan tersendiri.

Unsur ‘mencabar’ juga dapat dirasai dek permukaan jalan yang tidak rata, berbukit, sempit dan berlumpur.

Ia secara tidak langsung menjadikan sesi bersiar-siar penulis bersama rakan media lain menjadi sesuatu yang luar biasa dan penuh dengan kenangan terindah.

Itulah yang dirasai penulis bersama rakan media lain ketika melakukan salah satu aktiviti riadah yang disediakan di FELDA Residence Hot Spring, Sungkai, Perak, baru-baru ini.


AHMAD Fakri memberi penerangan ringkas mengenai pengendalian ATV.

Dibuka kepada pengunjung sejak tahun lalu, aktiviti ATV ini nyata memberikan aktiviti berlainan yang mengujakan khusus buat pengunjung yang inginkan kelainan.

Selesai menikmati hidangan sarapan dan ‘memanaskan’ badan di sauna semula jadi yang memberikan kehangatan wap mata air, sesi menjelajah dengan ATV dimulakan.

Tanpa berlengah, kami memilih ATV yang akan ditunggangi dan terus diminta memakai topi keledar.

Usai taklimat ringkas, kami diminta memandu uji ATV yang akan ditunggang dengan beberapa pusingan di padang berhampiran bagi menyesuaikan diri sekali gus sama ada seseorang itu boleh melakukan aktiviti itu atau tidak.

Dek sudah lama tidak menunggang ATV, terasa sedikit kekok dan gementar. Namun, selepas melakukan beberapa pusingan, kekuatan dan keberanian mula dirasai.


AHMAD Fakri menunjukkan cara mengendali ATV.

Selepas betul-betul yakin dapat mengendali kenderaan lasak itu, penyelaras rekreasi, Ahmad Fakri Yaakup, 36, yang mengetuai aktiviti kami pagi itu memberikan isyarat untuk memulakan perjalanan sejauh lapan kilometer dan dijangka memakan masa sekitar 45 minit.

Saat itu, bermulalah keseronokan menunggang ATV yang juga sangat terkenal sebagai antara sukan lasak disukai ramai.

Keluar dari pekarangan resort, melalui jalan tar yang tidak rata dengan keadaan yang berbukit sedikit mencabar walau pada pandangan mata kasar ia sangat mudah.

Mana tidaknya, untuk mengendalikan ATV ini, kekuatan tangan sangat dituntut terutama apabila membelok ke satu-satu selekoh dek saiznya selain berat.

Ketika asyik menunggang ATV, membelok ke laluan yang agak sempit dan tidak rata serta berlubang nyata benar-benar menguji kami. Sesekali kedengaran jeritan dan gelak tawa kerana tersasar dari laluan.

Santai menunggang ATV dan menghirup udara segar, kami memasuki laluan yang sempit. Laluan itu juga akan membawa kami ke satu perkampungan Orang Asli.


PERKAMPUNGAN Orang Asli antara laluan menarik sepanjang aktiviti ATV.

Menerusi laluan yang tidak rata dan berbukit, kami perlu berhati-hati dan sentiasa peka terhadap keadaan jalan yang dilalui. Takut-takut, terlalu asyik menikmati pemandangan nan indah, terbabas pula.

Sampai di satu jalan, kami sudah diberi amaran akan keadaan jalan yang berlopak kemudian perlu mendaki laluan berbukit. Disebabkan tiada laluan lain, kami perlu juga meredahnya.

Pemulas minyak digenggam kuat dan dipulas semahu-mahunya supaya ATV yang ditunggang meluncur laju sekali gus melepasi laluan yang berlopak dan berjaya menaiki bukit.


MEREDAH lopak dan lumpur antara cabaran yang dilalui sepanjang menunggang ATV.

Perasaan puas dirasai saat berjaya merentasi cabaran itu dan kami meneruskan perjalanan hingga ke kawasan perkelahan di Lata Tesong.

Usai berehat sebentar sambil merasai kedamaian hutan belantara dan deruan air sungai yang mengalir deras, kami meneruskan perjalanan ke laluan lainnya yang nyata sedikit mencabar.

Masih melalui jalan yang sempit, keberanian kami diuji dengan laluan jambatan juga sempit, berlumpur dan laluan berbukit. Namun, kami berjaya melepasinya dan meneruskan penerokaan ke dalam kawasan ladang kelapa sawit seterusnya pulang ke resort.


MERENTAS jambatan menguji keberanian peserta.

Sepanjang hampir 45 minit sesi bersiar-siar dengan ATV itu, ternyata ia aktiviti yang cukup mengujakan.

Walaupun laluannya tidaklah mencabar seperti kebiasaannya, ia sememangnya menguji keberanian dan alternatif terbaru untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Aktiviti ATV di FELDA Residence Hot Spring ini menawarkan lima ATV untuk dikendalikan pengunjung dan terdapat dua pilihan laluan yang boleh dicuba iaitu laluan ‘on road’ atau ‘off road.’

Daripada dua pilihan ini, antara lokasi yang akan dikunjungi termasuk meneroka alam semula jadi, kawasan perkelahan, perkampungan Orang Asli, merentasi jambatan dan mengunjungi kawasan air terjun Lata Kelah.

Melalui laluan tidak rata, turun dan naik bukit, laluan berlumpur dan laluan sempit juga memberikan cabaran serta keterujaan tersendiri.

Dibuka setiap hari, aktiviti ini boleh dilakukan saat berkunjung ke FELDA Residence Hot Spring dengan bayaran RM50 sejam untuk ‘indoor’ atau ‘on the road’ dan RM130 sejam untuk ‘outdoor’ atau ‘off the road.’


MEMANAH antara aktiviti lain yang menarik di FELDA Residence Hot Spring.

Terkenal sebagai destinasi percutian keluarga yang menawarkan aktiviti mandi-manda di kolam air panas semula jadi, FELDA Residence Hot Spring ini juga menyediakan pelbagai aktiviti lain termasuk memanah.

Maklumat lanjut, layari www.feldatravel.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 10:55 AM