PESERTA teruja dengan keindahan alam di puncak gunung.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Percubaan pertama mendaki Gunung Tahan, Pahang setinggi 2,187 meter dari aras laut membuahkan kejayaan apabila 10 peserta dari Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) ini apabila berjaya menawan puncak gunung itu, baru-baru ini.

Menurut Ketua Eksekutif KAYM Datuk Saroni Judi, kesabaran dan semangat kerjasama peserta berbaloi apabila berjaya menawan puncak tertinggi di Semenanjung dan kedua tertinggi di Malaysia itu.

“Kejayaan pendakian ini memberi pengalaman dan mencatat sejarah tersendiri selepas mereka berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 2016 sekali gus penutup Ekspedisi Cabaran Tujuh Gunung 2016.

“Misi menawan puncak Gunung Tahan bukanlah mudah, peserta memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi rintangan serta kesukaran bentuk muka bumi yang curam untuk sampai ke destinasi” katanya.

Saroni berkata ekspedisi selama enam hari itu menguji ketahanan fizikal dan mental peserta untuk bertahan supaya berjaya sampai ke puncak serta mempromosi aktiviti sihat dalam kalangan penuntut.

PESERTA ekspedisi terpaksa mengharung sungai yang deras

Ketua ekspedisi, Mohd Osman Togimin pula berkata, kegiatan yang bermula di Kuala Juram, Merapoh disokong dengan keadaan cuaca yang baik membuatkan peserta bersemangat mendaki Gunung Tahan hingga ke puncak.

“Selain itu, semua aktiviti memasak dan pemasangan khemah serta solat berjemaah menyemai semangat bekerja berkumpulan selain membentuk sifat kepemimpinan dalam diri peserta” katanya.

Menurutnya, meskipun berdepan bentuk muka bumi yang berliku, mereka terpukau dengan kecantikan flora, fauna dan pemandangan di Taman Negara seperti air terjun yang indah di Lata Luis serta pokok bonsai di Kem Bonsai.

Peserta, Adam Danial Razali yang juga pelajar Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat berkata, kekuatan fizikal, mental dan semangat tinggi diperlukan untuk melakukan pendakian.

“Pendakian yang curam dan licin sangat mencabar. Setiap kilometer perjalanan, terdapat pondok rehat disediakan untuk peserta.

“Kami terpesona dengan kepelbagaian flora dan fauna ciptaan Tuhan” katanya.

DI puncak Gunung Tahan.

Menurut pelajar Sekolah Pengurusan Sains Komputer dan Kejuruteraan, Ooi Wei Jing, halangan termasuk memanjat kecerunan hampir 90 darjah selain laluan batuan raksasa dan akar kayu bersaiz besar menguji kesabaran, ketahanan mental serta fizikal.

“Keadaan bertambah sukar ekoran hujan lebat. Mujurlah panorama indah mengubati keletihan yang mencengkam sehingga kami berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

“Saya sangat teruja untuk sampai ke puncak yang juga antara gunung paling sukar didaki di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 2:44 PM