PEMANDANGAN menunjukkan kepadatan pembangunan di Ampang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Kedudukan Ampang yang hampir dengan ibu kota menyebabkan kawasan berkenaan mendapat ‘tekanan’ kepesatan pembangunan seperti pembinaan perumahan dan kemudahan insfastruktur.

Kelengkapan kemudahan berkenaan menarik orang ramai memilih kawasan itu sebagai tempat kediaman menjadikan Ampang kawasan padat sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, bilangan penduduk kawasan berkenaan dianggarkan 800,000, lalu permintaan terhadap rumah turut meningkat.

Ekoran itu banyak kawasan hijau diteroka bagi tujuan terbabit yang akhirnya mengakibatkan Ampang menjadi ‘panas’ ekoran pertambahan gas karbon dioksida.

Menyedari perkara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif mengadakan program Fiesta Eko Hijau: Ampang Jaya Rendah Karbon 2030, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPAJ Abdul Hamid Hussain berkata, majlis itu menyediakan Pelan Tindakan Ampang Jaya Bandar Rendah Karbon 2030 yang menyasarkan penurunan karbon sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

Katanya, pelbagai langkah diambil dengan segera membabitkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan masyarakat bagi memastikan matlamat itu tercapai.

“Salah satu langkah diambil ialah menerusi pembangunan kejiranan hijau. Ini kerana ia adalah satu konsep perancangan guna tanah penting dalam pembangunan hijau yang menjurus kepada pertumbuhan hijau.

“Kami ada membuat sedikit kajian dan mendapati beberapa negara luar melaksanakan inisiatif ini (pembangunan kejiranan hijau) berjaya mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida, kesan pulau haba dan mewujudkan kualiti persekitaran baik,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, selain itu MPAJ juga memperkenalkan kebun komuniti di beberapa lokasi sekitar Ampang untuk menambah bilangan pokok di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, terdapat 15 kebun komuniti di Ampang sejak diperkenalkan pada 2015 dengan keluasan kebun terbesar ialah 0.25 hektar di Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Au2 Taman Keramat dan Pandan Indah.

“Kami (MPAJ) akan memberikan peruntukan seperti kelengkapan pertanian kepada mana-mana petempatan yang berminat mewujudkan kebun komuniti,” katanya.

Katanya, antara inisiatif lain kepada usaha berkenaan ialah meningkatkan penggunaan lampu jimat tenaga (LED), melaksanakan pembangunan kesan rendah dalam sistem pengairan dan saliran serta menggalakkan penggunaan air hujan untuk aktiviti domestik.

Jelasnya, diharapkan usaha itu dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang lestari kepada masyarakat dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 11:02 AM