WARDAHANISAH bersama sebahagian daripada karya seramiknya.
PAMERAN Ceraciation 2017 disertai 20 penuntut tahun akhir Jabatan Seramik Perindustrian Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (AD) UiTM.
PELAJAR sekolah turut hadir melihat Pameran Ceraciation 2017.
DUA puluh penuntut bersama karya seramik yang dipamerkan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Kreativiti 20 penuntut tahun akhir Jabatan Seramik Perindustrian Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (AD) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ditonjolkan menerusi Pameran Ceraciation 2017.

Sebanyak 60 karya seramik kreatif dipamerkan dalam pameran yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai lalu di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ), UiTM.

Pensyarah kanan, Md Faizul Khalid berkata, setiap pelajar menghasilkan karya seni mereka berdasarkan tema dan kreativiti masing-masing.

“Mengambil aspirasi terhadap kelestarian alam dan warisan menonjolkan hasil karya seramik yang menyerlahkan estetika karya terbabit.

“Hasil seni yang dicipta mereka setanding karya seramik dalam pasaran masa kini,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, proses penghasilan seramik kelihatan mudah tetapi ia tidak akan terhasil jika seseorang artis atau pelajar seramik tidak mempunyai disiplin dan kemahiran tinggi.

Beliau berkata, pameran berkenaan diadakan bertujuan mempromosikan seni seramik selain memperkenalkan pengkarya muda seramik dari Fakulti AD UiTM.

Penuntut, Wardahanisah Razali berkata, karya seni seramik dihasilkan dinamakan ‘Engrenage dente’ yang berasal daripada perkataan Perancis bermaksud ‘sprocket gear’ (gegancu).

“Karya ini diinspirasikan daripada Humanoid Robot yang menyerupai pergerakan atau aktiviti harian dilakukan manusia. Bagaimanapun, Humanoid Robot dikawal dengan sistem ditetapkan.

“Karya gegancu adalah sebuah arca teko tidak berfungsi dan ia dijadikan sebagai produk dekorasi hiasan dalaman,” katanya.

Katanya, keunikan produk itu terletak pada rekaannya yang diolah dengan campuran 20 peratus bahan logam dan 80 peratus bahan seramik melalui pengaplikasian teknik seperti ‘throwing’, ‘slabbing’ dan ‘pressmould’.

“Kemudian hasil seni ini diwarnakan menggunakan warna ‘matte’ dan ‘glossy glaze’ yang akhirnya menghasilkan kesan khat karat pada permukaan rekaan.

“Lapisan warna kemerah-merahan terbentuk seakan-akan akibat reaksi redoks iaitu kehadiran udara dan air pada logam,” katanya.

Wardahanisah berkata, karya yang menggunakan kerja tangan sepenuhnya itu membabitkan tiga proses iaitu kerja seni, pembakaran dan mewarna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:33 PM