DULU. Jalan Bangsar dipersimpangan Jalan Riong.
KINI. Kepesatan pembangunan di Bangsar menyebabkan Jalan Bangsar dipersimpangan Jalan Riong sentiasa sesak dengan kenderaan.
DULU. Bangsar Shopping Centre (BSC) pada 1990.
KINI. BSC menjadi salah satu mercu tanda di Bangsar.
DULU. Terdapat banyak deretan kedai makan di tepi Jalan Liku, Bangsar.
KINI. Deretan kedai makan di Jalan Liku, Bangsar dirobohkan dan menjadi tempat letak kenderaan.
DULU. Klinik Pergigian dan Pesakit Luar Bangsar.
KINI. Nama berubah kepada Klinik Pergigian Bangsar.
DULU. Kawasan kediaman di Bukit Bandaraya pada 1995.
KINI. Jalan di kediaman Bukit Bandaraya dilebarkan seiring pembangunan di kawasan berkenaan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Tahukah anda, Bangsar kira-kira 40 tahun lalu hanyalah ladang getah dan kawasan perumahan biasa yang langsung tidak mempunyai sebarang tarikan.

Apatah lagi, kawasan berkenaan juga sering mengalami banjir dan terdapat banyak kawasan tinggalan pokok getah.

Dalam erti kata yang mudah, Bangsar pada masa itu bukanlah lokasi pilihan penduduk untuk tinggal di kawasan terbabit selain kedudukannya pernah dianggap agak jauh dari Kuala Lumpur.

Namun begitu, perlu diketahui sejarah ringkas bagaimana kawasan itu boleh wujud dan kini menjadi antara lokasi elit di kota metropolitan Kuala Lumpur.

Terdapat sumber menyatakan Bangsar berasal daripada perkataan kuno iaitu Bungsar tetapi tidak dapat dipastikan mengapa nama itu kemudian ditukar kepada Bangsar.

Catatan lain pula menyatakan nama Bangsar berasal daripada perkataan Bangsa. Ia ditukar kepada nama berkenaan bagi memperingati usaha Abdullah Hukum cuba menyatukan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang tinggal Bangsa (Bangsar).

Abdullah Hukum adalah ketua masyarakat Kuala Lumpur pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad di Selangor dan tokoh Melayu yang pernah tinggal lama di negeri berkenaan.

Nama Bangsar dikekalkan sehingga ke hari ini tetapi persepsi masyarakat terhadap kawasan itu pada masa kini ternyata jauh berubah.

Bahkan ada menggelarkan Bangsar sebagai ‘kawasan orang kaya’ impak daripada revolusi pembangunan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Bangsar sudah berubah wajah apabila banyak kediaman mewah seperti kondominium dan pusat komersial lebih ‘menghiasi’ landskap pembangunannya.

Tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun akan datang, Bangsar boleh menjadi sebuah bandar raya besar kerana kawasan itu tidak pernah berhenti menerima pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 12:40 PM