RAJA Ahmad bersama sebahagian karya yang dipamerkan di Galeri RA Fine Arts.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

asyikin.mat@hmetro.

Menjadi pelarian Palestin yang tinggal di Kem Pelarian Nahr al-Bared di Lubnan dan pengalaman menyaksikan pesawat pejuang Israel membedil bangunan dan kediaman memberi inspirasi kepada seorang pelukis negara berkenaan untuk menghasilkan karya seni yang kreatif.

Menggunakan bahan campuran daripada serpihan bahan buangan yang rosak seperti pakaian, zink dan batang paip air PVC akibat serangan itu sebagai medium lukisan itu juga menjadikan kerja tangan Abdul Rahman Katanani begitu unik dan menarik.

Penonton diajak untuk menghayati perasaan hati, nukilan jiwa, coretan naluri dan ekspresi pengkarya yang ditonjolkan dalam karya itu yang sarat unsur kemanusiaan.

Lukisan genre surealisme bertajuk wanita dalam khemah perperangan itu boleh dihayati dalam Pameran Kedamaian, Peperangan, Konflik dan Sosial Harmoni di Galeri RA Fine Arts.

Pameran itu menampilkan 16 hasil karya artis tempatan dan antarabangsa yang menggabungkan pelbagai genre karya lukisan serta medium termasuk cat minyak atas kanvas dan akrilik.

Barisan artis terbabit ialah Zulkifli Yusoh, Allahyarham Jeri Azhahar, Abdul Rahmn Katanani, Cazim Sarajlic, Agusawage dan Kartika Affandi.

Pengkarya antarabangsa itu adalah daripada Palestin, Bosnia, Vietnam dan Indonesia yang mempunyai sejarah diserang dan dijajah.

Pengarah RA Fine Arts Raja Ahmad Aminullah berkata, lukisan yang dihasilkan artis terbabit adalah reaksi mereka terhadap situasi di negara masing-masing.

“Pemilihan tema itu kerana situasi di dunia pada masa ini yang semakin tergugat dari segi keamanan apabila banyak negara dilanda konflik peperangan terutama di negara Timur Tengah.

“Ia perlu ditangani segera supaya hak asasi manusia sejagat dapat dibela,” katanya.

Katanya, pameran itu diadakan bertepatan dengan Hari Kemerdekaan negara yang bakal disambut tidak lama lagi.

Orang ramai dijemput hadir menghayati keindahan lukisan yang dihasilkan pelukis terbabit bermula 11 pagi hingga 6 petang setiap Selasa hingga Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 11:44 AM