TEONG Kim (kiri) memberi penerangan kepada peserta program di Padang Polo, Georgetown.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Lebih 100 pemain muda berusia 8 hingga 12 tahun teruja selepas menyertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dengan tunjuk ajar bekas jurulatih remaja kelab Bayern Munich, Lim Teong Kim di Padang Polo.

Teong Kim yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun melatih dan bermain bola sepak berkata, usaha PPBN bakal membuka lembaran baru kepada dunia bola sepak negara terutama kepada pemain muda.

“Kami berharap program ini dapat membina generasi bola sepak serba boleh, sekali gus merancakkan lagi usaha mencungkil dan mengasah bakat anak muda yang diharapkan dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara yang pernah dikecapi suatu masa dulu,” katanya.

Sepanjang sesi latihan tiga jam itu, pemain turut diberikan penerangan mengenai teknik, selain berpeluang beraksi dalam arena bola sepak negara menerusi proses pencarian bakat.

Menurutnya, satu landasan saluran bakat akan diwujudkan bagi memberi peluang kepada pemain muda itu menjalani latihan di Akademi Tunas di setiap daerah.

“Bagi pelatih berumur antara 13 hingga 17 tahun pula, bakat terbaik dari seluruh negara akan dipilih untuk ditempatkan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari dengan kemudahan dan kepakaran jurulatih kelas pertama.

“Mereka yang tidak terpilih masih berpeluang mengasah bakat masing-masing melalui program latihan tersusun di Sekolah Sukan Malaysia, Sekolah Sukan Negeri dan 150 pusat latihan negeri," katanya.

Menerusi pelan PPBN itu, Teong Kim berkata, pihaknya berharap jumlah bakat muda di pusat latihan akan meningkat daripada 5,454 pemain pada tahun lalu kepada 51,125 menjelang 2020, manakala bilangan Akademi Tunas sebelum ini (Pusat Latihan MyKids Soccer) akan ditambah secara berperingkat kepada 150 menjelang 2020, berbanding 14 sedia ada.

Pada masa sama, bilangan pusat Latihan Daerah untuk program bola sepak di sekolah menengah akan ditambah kepada 150 berbanding 44 yang sedia ada serta penambahan bilangan jurulatih berlesen daripada 387 pada 2013 kepada 2,472 pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:03 AM