BAYI yang ditemui berhampiran longkang oleh penduduk setempat.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Seorang bayi perempuan ditemui dibuang berhampiran sebuah longkang yang berdekatan sebuah bukit di Taman Pelangi Indah, Mantin, di sini, pagi tadi.

Sumber polis berkata, bayi yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan telanjang oleh seorang penduduk yang keluar untuk bersenam pada jam 6.15 pagi.

Katanya, sebaik melalui kawasan itu, penduduk berkenaan yang juga wanita 40-an terdengar tangisan bayi.

"Wanita itu kemudian menghampiri kawasan dan terkejut mendapati seorang bayi ditinggalkan di celah batu serta pokok,"katanya.

Menurutnya, sehubungan itu wanita terbabit menghubungi pihak polis sebelum ambulans yang tiba membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 1:35 PM