LUKAKU (kanan) jaring gol pendahuluan Everton.

Norwich, United Kingdom: Gol yang dihasilkan Wes Hoolahan menghalang Everton daripada meraih kejayaan apabila skuad kendalian Roberto Martinez itu sekadar seri 1-1 di Carrow Road, malam tadi.

Jika menang, Everton berpeluang merapatkan diri dengan pasukan di tangga kelima, Tottenham Hotspur tetapi selepas Romelu Lukaku memberikan pendahuluan pada minit ke-15, mereka melepaskan banyak peluang untuk menambah kelebihan.

Hoolahan menyamakan kedudukan pada awal babak kedua apabila melepaskan rembatan dari jarak dekat sekali gus memberikan keputusan seri yang ketiga berturut-turut Everton dan membolehkan Norwich melepasi zon penyingkiran.

Skuad Alex Neil itu hampir membawa pulang tiga mata tetapi Cameron Jerome bijak menepis cubaan Hoolahan ketika permainan berbaki 20 minit.

Gerard Deulofeu mencerahkan peluang Everton untuk menang menerusi larian pantas dalam kotak penalti Norwich dan selepas rembatan pertama Lukaku tersasar, penyerang Belgium itu tidak melakukan kesilapan pada cubaan kedua. - AFP

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:12 AM