PEKIN dan Rosyam dalam Mat Moto.
Oleh Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Kalau diamati, sudah ada beberapa karya permotoran yang diangkat menjadi filem dan kebanyakan memaparkan gejala sosial remaja. Tidak lama lagi, kisah Mat Moto bakal dihidangkan kepada penonton.

Apabila filem sebelum ini mempunyai kandungan hampir sama, tidak mustahil sebaik saja mendengar tajuk filem ini, akan ada segelintir membuat tanggapan awal. Mereka mungkin membayangkan Mat Moto mempunyai jalan cerita yang sama.

Bagaimanapun, pengarahnya, Pekin Ibrahim menyarankan orang ramai supaya menonton dulu filem ini sebelum menghakimi­nya.

Anak seni kelahiran Kelantan itu bekerjsama dengan Syafiq Yusof sebagai pengarah bersama untuk memastikan filem ini lain dari yang lain.

Bukan hanya duduk di belakang tabir, Pekin turut berlakon dalam filem ini membawa watak Al yang juga watak utama.

Kata Pekin, Mat Moto adalah adaptasi dari kisah benar dan diubah sedikit bagi tujuan komersial iaitu hanya membabitkan sekitar 20 peratus manakala 80 peratus kisah benar dikekalkan.

“Rasanya tidak adil kalau kita membuat andaian berdasarkan judul. Memang tajuk nampak menonjolkan perkara itu tetapi saya rasa kandungan dalam filem ini adalah perkara paling penting.

“Mungkin ini filem pertama membabitkan permotoran dengan kandungan seumpama ini. Saya tonjolkan sifat patriotik dan kemanusiaan pada diri Al sedangkan heroin dalam cerita ini banyak menunjukkan sikap remaja pada masa kini,” katanya.

Pekin atau Mohd Iznan Ibrahim mengambil masa setahun untuk membuat persiapan bagi tujuan menghasilkan filem ini.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira apatah lagi perlu menjalani penggambaran di Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu dan Johor Bahru.

“Bukan hanya lokasi penggambaran yang perlu diselesaikan tetapi juga pemilihan motosikal turut dititikberatkan. Usaha itu bagi memastikan tujuan utama filem ini dapat disampaikan dengan baik.

“Untuk itu, saya berjumpa dengan kelab motosikal di seluruh Malaysia dan bercerita dengan mereka mengenai niat menghasil­kan filem ini.

“Mereka memberi cadangan serta mendapat bantuan bagi merealisasikan Mat Moto. Saya juga meminta kebenaran dari Al untuk menjadikan kisah hidupnya sebuah filem. Dia bersetuju asalkan apa yang saya paparkan itu semuanya positif dan bukan perkara negatif.

“Kami juga membuat semula motosikal yang digunakan Al. Hampir semua barangan yang ada di tubuh saya sepanjang penggambaran itu milik Al. Proses inilah yang me–ngambil masa lama disusun atur untuk dimuatkan menjadi sebuah filem,” katanya.

Pelakon lain yang turut terbabit dalam Mat Moto adalah Datuk Rosyam Nor, Shaheizy Sam, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Syamsul Yusof, Kamarul Yusof serta Falisha Crossley.

Kata Pekin, Mat Moto tidak memaparkan kisah mat rempit. Bakal ditayangkan di pawagam pada 14 Januari depan, Mat Moto mengisahkan Al, pemilik syarikat suntingan filem mengembara ke empat negeri untuk menunaikan hajat rakannya, Spark yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Hajat Al dalam penggembaraan itu untuk memiliki empat helmet unik yang sangat berharga serta digilai penggemar motosikal tanah air. Seorang pelajar praktikal, Sikha turut menyertai perjalanan Al dan bermula bibit cinta antara mereka.

Selain berdebar menantikan tayangan filem itu, Pekin kini sibuk dengan penggambaran filem Suatu Ketika arahan Prakash Murugiah. Ia mengisahkan pelajar Melayu bermain bola sepak menentang pelajar Inggeris.

Kata Pekin, menariknya filem ini kerana berlatarkan tahun 1952. Ketika itu hanya ada sekolah

Inggeris dan pelajar Melayu berusaha tampil hebat dalam sukan bola sepak melawan pelajar Inggeris.

“Ia menceritakan pemain kita berusaha mengumpul duit untuk membeli kasut dan jersi bola. Suatu Ketika juga adaptasi dari kisah benar. Ada pelakon Mat Saleh yang akan terbabit dalam penggambaran ini tetapi saya tidak tahu jangkaan tayangannya,” katanya.

Selepas itu, Pekin juga akan memulakan penggambaran telefilem untuk Cerekarama bersama pelakon Sharifah Amani, Nadia Aqilah serta Nadiya Nisaa. Selain itu, dia juga bakal menerbitkan dokumentari mengenai masyarakat di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:02 AM