ARIL dan rakan artis memperdengarkan lagu We Will Believe Again pada majlis pelancaran trailer dan lagu tema kedua filem Ola Bola.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Kehadiran cahaya mata sulung, Tun Adriel Mikael pada tanggal 24 November lalu melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangga pe­nyanyi Aril Pilus dan isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin, 29.

Bayi lelakinya itu selamat dilahirkan secara normal pada jam 11.25 malam di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Lebih bermakna, tarikh kelahiran anak pertamanya itu sama dengan tarikh lahir ibunya, Normah dan arwah abangnya,Izwan Pilus.

Bagi pemilik nama sebenar, Khairil Azam Pilus, 29, kelahiran anaknya itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap arwah abangnya itu.

“Mungkin secara kebetulan saja, tarikh lahir anak kami sama dengan tarikh lahir dua insan yang paling saya sayangi.

“Terus terang, saya terus terkenangkan arwah abang ketika mengazankan bayi kami sekali gus kehadirannya sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan itu,” katanya.

Naib juara Akademi Fantasia musim ketujuh ini bagaimanapun mengakui terpaksa berjauhan seketika dengan anaknya kerana isteri berpantang di rumah mentuanya di Kelantan.

“Hidup saya berubah sejak bergelar bapa. Saya tidak cukup tidur kerana membantu isteri menjaga anak kami pada waktu malam.

“Mujurlah, saya memang sukar tidur pada waktu malam dan ia memudahkan saya mengambil alih tanggungjawab menjaga anak dan isteri boleh berehat.

“Buat masa ini, isteri memang berusaha menyusukan anak kami dengan susu badan dan akan mencampurkannya dengan susu formula secara perlahan-lahan nanti,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seninya pula, penyanyi yang bernaung di bawah pengurusan Astro ini berkata dia sibuk memenuhi undangan persembahan nyanyian.

“Alhamdulillah, rezeki semakin murah apabila dapat anak. Walaupun isteri tidak lagi bekerja sebagai pramugari, pendapatan kami cukup untuk menampung keluarga.

“Selain menyanyi, saya turut mengacara. Terbaru, saya terbabit dalam proses uji bakat program Astro Ceria,” katanya.

Aril meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai pe­nyampai radio Era sebelum ini kerana ingin memberi tumpuan pada bidang nyanyian.

“Selain mahu fokus dengan nyanyian, saya juga ingin meluangkan lebih masa dengan keluarga terutama anak kami yang masih kecil.

“Tugas sebagai penyampai radio menuntut saya bekerja mengikut syif pada waktu malam,” katanya.

Aril ditemui pada majlis pelancaran trailer dan lagu tema kedua filem Ola Bola di Teh Tarik Place, The Curve, Damansara baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Astro Henry Tan.

Bangga menyanyi lagu tema filem Ola Bola

Penyanyi yang popular dengan lagu Bangkit ini teruja diberi kepercayaan me­nyampaikan lagu tema kedua filem Ola Bola berjudul We Will Believe Again ciptaan komposer berbakat besar, Onn San.

Aril turut bergandingan dengan Ganesan Manohgaran (juara pertandingan program Astro Vaanavil Superstar 2010), Geraldine Gan dan Nicole Lai (juara program Astro Star Quest pada 2011 dan 2012).

“Saya berasa bangga kerana terbabit dalam filem Ola Bola arahan Chiu Keng Gan yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 28 Januari depan.

“Antara sebab saya terima tawaran ini adalah kerana peminat sukan bola sepak sejak dulu.

“Selain dapat bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Chiu, filem ini turut melambangkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman damai,” katanya.

Lagu tema pertama filem ini yang berjudul Arena Cahaya dinyanyikan oleh Zee Avi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:01 AM