HUAWEI Honor 6
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my

Penguji berpeluang bermain dengan gajet Huawei Honor 6 yang mempunyai cip A7 quad core 1.3GHz digabungkan bersama cip berprestasi tinggi A15 quad core 1.7GHz.

Hasilnya? Peranti hebat dengan RAM melangkau 3GB di samping memori dalaman sehingga 16GB.

Menggunakan bateri 3100mAh, penguji mendapati ia mampu bertahan sehingga 18 jam! Apa yang menarik mengenai telefon pintar ini dilihat pada sistem operasi Android terkini, 4.4 KitKat yang digabungkan dengan antaramuka EMUI 2.3 buatan Huawei sendiri.

EMUI tidak menggunakan 'apps drawer', jadi semua aplikasi kini dilihat terus di Home seperti kebanyakan 'launcher' lain.

Ciri ini memberikan ruang notifikasi kepada dua bahagian iaitu Notification dan Shortcut yang mana pada Shortcut, terdapat fungsi seperti WiFi, Bluetooth, GPS, Volume dan lain-lain yang boleh diaktifkan atau dimatikan.

Terdapat satu fungsi yang dipanggil Suspend Button pada Shortcut. Apabila diaktifkan, ia akan memaparkan bulatan di tepi skrin.

Jika disentuh, beberapa arahan pantas boleh dilakukan seperti Back, Home, Apps, Lockscreen dan Clean Memory.

Skrin Home pada Honor 6 pula boleh diubah daripada bentuk Standard kepada Simple. Skrin Home Simple akan mengubah antaramuka menjadi butang yang besar dan mudah ditekan.

Dari aspek luaran, Honor 6 nampak seperti peranti premoum. Walaupun berharga murah, kerangkanya diperbuat daripada plastik polikarbonat.

Saiz Honor 6 ini juga mengagumkan apabila ia memiliki skrin 5.0 inci dengan saiz badan berukuran 139.6mm x 69.7mm.

Malah, ketebalannya hanya 7.5mm menjadikannya antara peranti yang nipis jika dibandingkan dengan telefon pintar berskrin 5.0 inci lain.

Kamera pada Honor 6 boleh dikelaskan lebih baik daripada biasa tetapi belum sampai ke tahap yang terbaik.

Kamera belakang dengan 13MP yang menggunakan sensor BSI Sony boleh merakam gambar dengan jelas pada keadaan yang cerah tetapi pada pencahayaan malap, ia kurang berkesan.

Beberapa fungsi manual seperti ISO, White Balance dan Exposure boleh ditetapkan sendiri di samping tetapan pantas seperti Beauty, Watermark, Filters, HDR dan Panorama boleh dipilih untuk mengambil gambar yang bersesuaian.

Fungsi menarik pada kamera Honor 6 ialah Ultra Snapshot yang merakam gambar bermula daripada skrin padam ke pengaktifan kamera dalam masa sepantas 0.5 saat saja.

Menarik mengenai kamera depannya apabila terdapat fungsi penting iaitu panorama yang mampu merakam dengan lebih luas.

Honor 6 juga mempunyai tetapan yang boleh digunakan untuk mengawal penggunaan tenaga.

Apabila berada dalam tetapan Normal, ia akan menggunakan CPU dan rangkaian pada kelajuan terpantas manakala dengan mod Smart pula, ia akan mengubah kelajuan CPU dan rangkaian mengikut kesesuaian penggunaan.

Pada mod Ultra, ia akan mematikan semua fungsi dan aplikasi kecuali panggilan dan mesej saja.

INFO

HUAWEI HONOR 6

PENGELUAR: Huawei

PERTANYAAN: Huawei

LAMAN WEB: huawei.com/my/

HARGA: RM999

PRO: Bateri tahan lama

KONTRA: Kamera kurang mengancam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:01 AM