Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Memenuhi impian kanak-kanak antara peranan yang perlu dijalankan oleh ibu bapa dan ia menjadi lebih penting apabila anak masing-masing menghidap penyakit kronik seperti kanser.

Biarpun kanak-kanak menderita sakit, mereka tetap perlu diberikan keyakinan diri dan harapan untuk terus bersemangat menghadapi masa depan.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menjalinkan kerjasama dengan Kidzania Mutiara Damansara untuk menggalakkan seramai 15 kanak-kanak dari Rumah Harapan Kanak-Kanak (CHH) untuk berfikir secara kreatif dalam suasana ceria di Kidzania.

Kidzania yang juga pusat hiburan dan pendidikan kanak-kanak membuka peluang kepada si kecil untuk menjadi kreatif, belajar dan berfikir mengenai masa depan mereka dengan lebih bersemangat.

Semua kanak-kanak berkenaan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti antaranya mencuba profesion seperti juruterbang, bomba, doktor dan peragawati.

Mereka juga diberi peluang belajar membuat coklat, sushi, biskut dan pelbagai jenis pencuci mulut.

Naib Presiden NCSM, Clare Ratnasigham berkata, kanak-kanak itu dapat menghabiskan masa berkualiti dan ia memberi inspirasi kepada mereka untuk memiliki cita-cita dan maju dalam hidup.

"Kami mahu kanak-kanak terbabit tidak berputus asa dan terus bersemangat mengejar impian masing-masing," katanya.

NCSM adalah satu-satunya badan kebajikan di negara ini yang menyediakan penjagaan perubatan meluas untuk perkhidmatan, rawatan dan sokongan bagi pesakit kanser.

Badan itu menyokong pesakit dan penjaga mereka melalui lima pusat kanser yang ditubuhkan iaitu Pusat Sumber dan Kesejahteraan, Klinik Saringan Kesihatan dan Kanser, Pusat Perubatan Nuklear, Pusat Rawatan Kanser dan CHH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:01 AM