Dua foto anak baru lahir yang dikirim oleh bapa mertua Ashraf.
Oleh Sudirman Mohd Tahir & Wahi Aziz
sudirman@hmetro.com.my

& wahiduzzaman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isteri pertama pelakon Ashraf Muslim, Noor Dayana Lokman selamat melahirkan ​anak pertama mereka semalam, secara pembedahan.

“Syukur pada Allah SWT isteri dan anak dalam keadaan sihat. Buat masa sekarang, kedua-duanya masih lagi dirawat di hospital.

"Sepanjang proses bersalin, saya ada di sisi isteri. Apabila anak selamat dilahirkan, saya sangat terharu. Bukan apa, penantian selama empat tahun termakbul juga. Ini adalah rezeki berganda buat saya," katanya.

Ashraf selaku penerbit syarikat Al Hidayah Productions Sdn Bhd mengakui tanggungjawabnya sebagai suami dan ketua keluarga semakin bertambah.

"Apabila keluarga semakin besar, saya perlu urus dengan baik. Dalam waktu sama, saya kena buat banyak persediaan.

"Berada di kedudukan saya, banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama dari segi masa. Paling penting, saya perlu fokus kepada kedua-dua isteri serta anak-anak kami," katanya.

Tambah Ashraf, nama anak ketiganya itu hanya diberikan pada hari ketujuh kelahiran mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Berbekalkan dua kali pengalaman, Ashraf sudah tidak kekok untuk mengurus dan menjaga anak.

"Sama seperti anak pertama, ketika Sakinah dalam pantang, Dayana banyak membantu. Jadi, selepas ini gilirannya pula.

Terdahulu isteri kedua Ashraf, Wan Sakinah Ahmad Subari selamat melahirkan anak kedua pada 14 September lalu, juga seorang lelaki.

Anak sulung Ashraf iaitu Sarah Ashraf kini berusia satu tahun dan anak keduanya, Adam Ashraf baru mencecah usia tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 9:53 PM