Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Francais Malaysia (MFA) optimis industri francais negara mampu mencatatkan sumbangan berjumlah RM26.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding RM26.15 bilion tahun lalu meskipun berdepan cabaran ekonomi yang memberi kesan langsung kepada sektor perniagaan komersial.

Industri francais dilihat mengukuh walaupun berdepan dengan situasi ekonomi yang sukar dijangka berikutan kemampanan sistem perniagaan yang diwujudkan dan dipraktiskan di dalam operasinya.

Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh berkata, setakat tahun ini terdapat 42 syarikat francais bernaung di bawah MFA berbanding 47 pada 2014 dan menjadikan jumlah keseluruhannya, 316 syarikat sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga kini 797 syarikat francais berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membabitkan nisbah 70 peratus jenama tempatan dan 30 peratus adalah jenama antarabangsa, sekali gus membuktikan industri itu semakin mendapat perhatian daripada usahawan tempatan.

“Industri francais yang mempunyai ciri prosedur operasi standard (SOP), kajian dan pembangunan perniagaan, pemasaran, penjenamaan dan kumpulan kerja yang teratur membolehkan pemain industrinya terus berdaya tahan walaupun berdepan dengan persekitran ekonomi mencabar.

“Malah, kita melihat penerokaan pasaran asing adalah langkah terbaik bagi memastikan jenama francais tempatan mampu berdaya tahan daripada pelbagai cabaran perniagaan dan pada tahun ini, sebanyak lima syarikat tempatan sudah menembusi pasaran asing,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Setiap tahun MFA menyertai sekitar lapan misi dagangan ke luar negara dan tahun ini antara lokasi asing yang disertainya ialah Sydney, Jakarta, Yangon, Korea, Turki, Singapura, Surabaya dan Melbourne, Australia.

Shukri berkata, pada tahun depan, MFA akan membantu ahli persatuannya untuk menerokai pasaran Eropah dan meluaskan aktiviti perdagangan di Asia Barat terutama di Dubai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 6:53 AM