Rumah dalam pembinaan yang menjadi lokasi pembunuhan. - Foto SYAFIQ AMBAK
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacob melihat mayat mangsa dalam trak polis sebelum dihantar ke hospital. - Foto SYAFIQ AMBAK
Oleh ZatulIffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Dungun: Mayat lelaki Bangladesh yang dipercayai dibunuh rakan sekerjanya warga Myanmar, ditemui dalam lubang tangki najis sebuah rumah yang dalam pembinaan di Kampung Pelandang, Pulau Serai, di sini, 10 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Hussin, 43, ditemui pemilik rumah berusia 42 tahun dalam tangki najis di luar rumah berkenaan.

Sebelum itu, seorang lagi rakan sekerja mangsa dikatakan ternampak tompokan darah lalu memanggil pemilik rumah terbabit dan mereka mencari mangsa sebelum menemui mayat Hussin dan pemilik rumah yang juga juruteknik, menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan ketiga-tiga rakyat asing itu bekerja membina rumah juruteknik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, usaha memburu suspek mangsa sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 4:48 PM