EZAD diraikan rakan artis dan kelab peminatnya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Ujian besar yang melanda hidupnya berjaya ditempuh dengan tenang. Ezad Lazim kini mampu mengukir senyuman kerana namanya kembali menjadi sebutan peminat.

Pembabitannya dalam program Gegar Vaganza 2 serta kejayaan mara ke peringkat akhir pada 13 Disember ini membuktikan dirinya masih relevan dalam industri seni suara tanah air.

Malah ia menjadi hadiah terbesar pemilik nama sebenar Mohd Rohaizad Mohamad Lazim yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke 36 pada 30 November lalu.

“Alhamdulillah... kehidupan saya kini semakin baik. Saya sendiri tak tahu apa lagi yang mahu dicari kerana segala-galanya sudah cukup.

“Tak dinafikan dulu saya pernah kecewa dan putus asa dengan industri nyanyian. Selepas berlaku peristiwa besar dalam hidup, saya mula berubah dan kemudian banyak perkara positif menyusul,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya anjuran syarikat rakaman MVM Production bau-baru ini.

Pada majlis itu juga, bekas penyanyi Exist ini turut melancarkan single terbaru berjudul Kesetiaan Cinta hasil ciptaan Adi Priyo Sixth Sense.

Sebelum ini Ezad tampil dengan single berjudul Hati Mati yang menampilkan RJ serta bergandingan dengan Waris menerusi lagu Cinta Terakhir.

“Syukur, sokongan dan harapan yang diberikan keluarga serta banyak pihak memberi kesan yang baik kepada saya.

“Saya kini kembali serius dalam karier dan sentiasa mahu hasilkan yang terbaik buat peminat. Nak kata saya kembali popular taklah, tapi ada banyak juga tawaran yang datang termasuk berlakon.

“Perniagaan yang diusahakan saya dan isteri pun ada peningkatan. Saya terharu dengan impak menyertai Gegar Vaganza.

“Ia pentas untuk setiap peserta buktikan kredibiliti mereka kepada peminat. Kami perlu serius jaga kesihatan dan stamina,” katanya.

Seperti peserta lain, Ezad turut mempunyai kelab peminat yang dinamakan Team Ezad Lazim.

Bahkan mereka diberikan keistimewaan termasuk diundang ke majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang berlangsung di sebuah pusat karaoke terkenal di ibu kota.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran isterinya, Nor Azeana Ramli atau Zeana serta rakan artis iaitu Nizam Laksamana dan Erry Putra.

Mengulas berkenaan single terbarunya, Ezad berkata ia sudah setahun dirakam dan sudah sampai masa diperdengarkan kepada peminat.

“Daripada disimpan begitu sahaja, MVM putuskan untuk keluarkan single ini kerana melodinya pun sedap dan pasti disukai peminat,” katanya.

Dalam pada itu Ezad meminta peminat tidak salah anggap dengan perwatakan Zeana yang dikatakan gedik.

“Saya faham Zeana ingin hiburkan hatinya. Apa yang dilakukan Zeana bertujuan mengelakkan kemurungan akibat penyakit ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST) yang dideritainya.

“Dia seorang yang positif dan tahu cara sesuai menceriakan hatinya,” katanya yang menyunting Zeana sebagai isteri pada 30 Mac 2013.

Pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata ia­itu Puteri Rania Keisha, 2,

dan Putera Muhammad Darwish yang kini berusia dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 1:09 PM