WAJAH baru myMetro lebih interaktif, mesra pengguna.
Oleh Gaddafi Musli
gaddafi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) kekal menerajui carta portal berita paling popular Malaysia dengan jumlah pengunjung unik (UV) seramai 817,000 sepanjang September lalu berdasarkan kajian dijalankan Persatuan Digital Malaysia (MDA) dan firma pengukur digital comScore Inc.

Laman web HM atau dikenali sebagai myMetro yang boleh dilayari menerusi pautan www.hmetro.com.my turut menduduki tangga ke-8 bagi laman paling kerap dikunjungi di Malaysia sepanjang bulan sama.

Hasil laporan sama, Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) muncul sebagai pengendali aset media digital nombor satu negara yang diakses menerusi peranti pintar dengan 1,956,000 UV dan berada sebaris dengan jenama antarabangsa seperti Google, Facebook, Yahoo, Microsoft dan Wikimedia.

Sementara itu menurut laporan Google Analytics, jumlah UV myMetro yang kini berwajah baru dan lebih interaktif meningkat daripada 3.75 juta pada September kepada 4.28 juta (Oktober).

Bagi tontonan video pula, myMetro TV yang mempunyai 49,766 langganan pengguna YouTube kini mencatat 60 juta tontonan sejak dilancarkan pada Disember 2009 menurut data YouTube Analytics.

Laman peminat Facebook myMetro pula kini mencatatkan sebanyak 2.05 juta 'likes' manakala akaun Twitter rasmi (@hmetromy, @GlobalHM, @ArenaHM dan @TekLabHM) mempunyai 313,200 pengikut.

MyMetro juga menubuhkan komuniti berita HMLive di Google Plus, akaun Instagram (@hmetromy) serta Pinterest (hmetromy) untuk pembaca berkongsi berita, gambar dan video menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 4:32 PM