Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan, di sini dengan lima pertuduhan memperdagangkan empat wanita warga Vietnam bagi tujuan seks pada Jun hingga Oktober lalu.

Tertuduh Teoh Choo Yee yang bekerja sebagai pekerja am kilang dan warga Vietnam Huynh Thi Kim Chi didakwa mengikut Seksyen 12, 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama beberapa individu lagi yang masih bebas dengan pertuduhan memperdagangkan kesemua mangsa bagi maksud eksploitasi seksual di sebuah kediaman di Lengkok Kampar, Taman Kampar, Ipoh antara Jun hingga kira-kira jam 12 tengah hari 29 Oktober lalu.

Tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh 2, Rushan Lutfi Mohamed, manakala dua lagi dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh 1, Noor Hayati Mat.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Ashvinder Kaur bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Muhammad Fauzi Md Yusof yang kemudian meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes berkenaan membabitkan tertuduh dan mangsa warga Vietnam yang jika dibenarkan jaminan takut tertuduh akan lari ke negara asal, manakala tertuduh warga tempatan dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

Hakim kedua-dua mahkamah kemudian memutuskan tidak memberi jamin terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 2:57 PM