Anifah Aman melancarkan Pelan Strategik Kementerian Luar 2016-2020. - Foto HAYATI IBRAHIM
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Pelan Strategik Kementerian Luar 2016 hingga 2020 yang dilancarkan hari ini, dirangka dengan mengambil kira bidang utama Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan agenda transformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia akan menjadi sumber rujukan dan panduan membantu warga kementerian melaksanakan tugas hal ehwal antarabangsa dan diplomasi dengan lebih cekap serta berkesan.

Katanya, pelan itu mempunyai enam objektif strategik iaitu memperkukuh diplomasi dua hala, pelbagai hala dan ASEAN, menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada pihak berkepentingan dan pelanggan kementerian, mempromosi Malaysia dan menyampaikan maklumat menerusi diplomasi awam serta memperkukuh institusi dan modal insan.

"Pelan ini juga menjadi panduan kementerian mempromosi, menyuara serta melindungi kepentingan Malaysia secara proaktif dan berkesan di setiap peringkat supaya Malaysia terus menyumbang ke arah keamanan, keselamatan dan kesejahteraan sejagat.

"Ia akan membantu kementerian melaksanakan program berdasarkan keberhasilan secara terancang dan bersepadu dalam mencapai semua objektif strategik kementerian dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategik Kementerian Luar 2016-2020 di Wisma Putra di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 4:45 PM