HOBI ‘gila’ game, aplikasi atau kartun boleh dijurus ke arah kerjaya jana pendapatan.
HOBI ‘gila’ game, aplikasi atau kartun boleh dijurus ke arah kerjaya jana pendapatan.

SHUHADA MANSOR tak mahu anda habiskan masa dengan hobi sia-sia. Ada cara menarik untuk Gen Y yang ingin mencuba merealisasikan kemahiran yang ada dengan peluang diberikan.

Tahukah anda, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuka peluang kepada anak muda yang kreatif dengan memberikan geran untuk merealisasikan impian menerusi minat sedia ada berteraskan industri kreatif.

Peluang ini disalurkan menerusi Dana Pembangunan Industri Kreatif berbentuk geran yang bertujuan memudah serta menggalakkan kita dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan multimedia berdaya cipta tinggi selain berupaya dipasarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

RM95 JUTA DIPERUNTUKKAN

FINAS menerusi geran pembangunan industri kreatif ini diperuntukkan sebanyak RM95 juta bagi melaksanakan objektifnya. Difahamkan, setakat ini sebanyak RM6 juta sudah disalurkan kepada lapan syarikat pemula untuk pelbagai projek membabitkan industri berkenaan bagi tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat dua segmen penerima geran iaitu syarikat pemula atau produksi dan syarikat yang berada dalam tahap membangun serta berupaya mengeluarkan rantaian produk berkaitan industri kreatif.

Ketahui tahap anda dan tapak mula untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam meluaskan karya dan minat anda. Lakukan kajian lebih menyeluruh mengenai kelayakan dan maklumat berkaitan dengan status anda.

TAK PERLU BAYAR BALIK

Ketua Pengarah FINAS Datuk Khamil Othman berkata, sejak geran itu dilaksanakan April lalu, pihaknya menyenarai pendek 38 syarikat termasuk lapan syarikat pemula berkenaan dan selebihnya dalam kategori syarikat membangun.

“Hampir setiap minggu kami menerima antara tujuh hingga lapan permohonan geran. Bagaimanapun, hanya pemohon mempunyai kriteria dikehendaki seperti berdaftar dengan FINAS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta syarikat dalam kategori membangun mempunyai persediaan untuk mengembangkan perniagaan dipilih.

“Peruntukan ini dalam bentuk geran dan pemain industri tidak perlu membuat bayaran balik, tetapi kita perlu memastikan wang diterima digunakan untuk tujuan perniagaan dalam industri ini,” katanya.

KARYA TAK TERHAD

Jika dulu penonton terutama kanak-kanak hanya disajikan dengan rancangan kartun yang kebanyakan diterbitkan syarikat produksi luar membuatkan kita tidak ada banyak pilihan untuk menonton siri kartun ditayangkan. Namun penekanan terhadap penggunaan digital menyaksikan pelbagai produk animasi berjaya dihasilkan anak tempatan.

Pendapat ini disuarakan Naib Presiden (Akademik) Universiti Multimedia Prof Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq selain menjelaskan situasi ini adalah petanda positif animasi negara mula berkembang ke peringkat yang lebih tinggi. Ia juga membuktikan lahirnya lebih ramai penggiat industri kreatif tempatan.

Dengan adanya dana ini, bagi anak muda yang berminat bolehlah cuba mendalami teknik dan kemahiran dengan menubuhkan syarikat pemula menawarkan kepelbagaian karya animasi untuk masyarakat.

“Pembangunan teknologi mendorong penggiat industri kreatif menghasilkan animasi tidak hanya terhad kepada sesuatu genre, tetapi lebih meluas berdasarkan kecenderungan kanak-kanak. Ia dipecahkan daripada beberapa kelompok mengikut umur. Misalnya kanak-kanak berusia antara tujuh hingga sembilan tahun lebih cenderung kepada penceritaan kartun animasi yang berunsurkan nilai murni seperti rancangan Upin & Ipin,” katanya.

Dengan tawaran geran ini, ia boleh dianggap sebagai platform terbaik bagi anda yang meminati bidang kreatif. Sama ada graduan lepasan universiti, atau anda pekerja yang memang gilakan ‘animasi’, apa kata cuba nasib dengan merealisasikan idea atau apa saja aplikasi yang mampu memberi manfaat kepada semua di samping memberi pulangan lumayan kepada anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 1:32 PM