KOMANDER PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor, ASP Mohd Nawi Yunus (kiri) bersama anggotanya memeriksa tong berisi petrol yang berjaya dirampas. FOTO Adnan Mohamad
Oleh Adnan Mohamad

Tumpat: Pelbagai barang bernilai RM50,000 berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, di sini dalam operasi bermula Khamis lalu hingga semalam.

Antara yang dirampas, 120 kampit beras, 400 helai tudung dan 120 tong berisi 3,600 liter petrol bersubsidi.

Komander PPM Wilayah 3, Asisten Superintendan Mohd Nawi Yunus berkata, semua barang itu cuba diseludup masuk dan dibawa keluar negara ini.

Katanya, operasi dijalankan di sepanjang Sungai Golok membabitkan kekuatan dua pegawai dan 18 anggota.

"Ia bermula dari Kuala Tak bai hingga Kubang Pak Itam bertujuan menangani kegiatan penyeludupan barang seperti beras, dadah dan senjata api.

"Bagaimanapun, sepanjang operasi, kita temui beras, tudung yang cuba diseludup masuk, manakala petrol subsidi yang diseludup keluar oleh pihak tertentu," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, tadi

Beliau berkata percaya semua barang itu adalah untuk bekalan musim tengkujuh dan operasi akan terus dijalankan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 12:28 PM