Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: “Gunakan Perhimpunan Agung UMNO untuk merapatkan silaturahim dan tidak menjadikannya platform lain bagi membentuk pendapat dan mengukir peta baru landskap politik terutama dalam kalangan ahli UMNO,” kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penganjuran perhimpunan khas oleh Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berpendapat pihak penganjur tidak berhasrat menjadikan UMNO berpecah-belah, malah majlis itu dibuat bagi mengemukakan beberapa pandangan mereka.

“Tentu ia dibuat untuk melepaskan beberapa lontaran dan pandangan, malah pada hemat saya, ia harus didengar oleh kami dalam kerajaan dan kepemimpinan UMNO.

“Bukan bererti kita menyokong (perhimpunan khas), tetapi kita memikirkan jika pendapat itu diluahkan pada majlis terbuka, ia tersebar luas melalui media sosial dalam pelbagai bentuk,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zahid berkata, beliau merasakan perjumpaan itu di luar ruang lingkup Perhimpunan Agung UMNO.

Menurutnya, perjumpaan itu mengikut perundangan, tetapi dari segi tata etika ia tidak harus dilakukan di luar parti.

“Namun, saya juga faham mungkin kerana tidak ada ruang secukupnya, maka mereka mencari alternatif menggunakan perjumpaan ini bagi memperjelas, mempertahankan serta melontarkan isu kepada kumpulan individu yang bersimpati.

“Saya fikir elok jika kita tidak ‘bersama-sama’ (ke perhimpunan khas berkenaan) kerana ia memberikan gambaran seolah-olah ada serpihan berlaku.

“Kita berharap ia dapat menjadi wadah bukan untuk menghentam mana-mana tokoh atau individu dan saya harap ia digunakan sebagai perjumpaan berbentuk silaturahim dalam kalangan penganjur dan tokoh serta mereka yang hadir pada majlis berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis berasingan berkata, Muhyiddin diberi peluang berucap di mana-mana pentas, namun diingatkan supaya tidak menjejaskan nama baik parti.

“Sekiranya ucapan Muhyiddin menjejaskan nama parti, beliau perlu bersedia berdepan Jawatankuasa Disiplin parti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 8:57 AM