Mayat pelajar Kolej Pendidikan dan Latihan Ranaco, Mohd Saufi Mukset, 19, (dua dari kiri) ditemui petang tadi selepas dihanyutkan ombak Sabtu lalu. - Foto NSTP
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Kerteh: Mayat pelajar Kolej Pendidikan dan Latihan Ranaco, Mohd Saufi Mukset, 19, yang hilang selepas dipukul ombak ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal Sabtu lalu, ditemui kira-kira jam 4.45 petang tadi.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran sebuah resort kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang kelmarin, Mohd Saufi bersama lima rakan sekelas dikatakan melalui kawasan berbatu untuk pulang ke kediaman mereka selepas mandi.

Mereka yang mengambil jurusan Keselamatan Kesihatan di Kolej Latihan dan Pendidikan Ranaco Kijal kemudian dipukul ombak besar secara tiba-tiba sebelum ditarik ke laut menyebabkan mangsa hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 9:39 PM