Mehmet melambai kepada penyokong Red Giants di Stadium Shah Alam. Foto fail NSTP

Shah Alam: Naib juara Liga Super 2015, Selangor tidak memandang lekeh kekuatan juara Liga Perdana, Kedah menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic berkata kekuatan skuad Hijau Kuning itu merupakan hasil sentuhan bekas pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dengan gabungan pemain tempatan dan import yang bakal menjadi ancaman kepada pasukan lawan pada final.

Bekas pemain kebangsaan Australia itu pernah beraksi bersama skuad Selangor menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali pada 1995, 1996 dan 1997 turut mengakui bermain di halaman sendiri merupakan suatu kelebihan kepada skuad 'Red Giants' untuk merangkul piala berprestij itu.

"Kedah merupakan pasukan terbaik memiliki pemain import hebat. Final kali ini merupakan pertemuan sukar," katanya.

Selangor menundukkan juara bertahan, Pahang menerusi kemenangan 2-0 untuk mara dengan agregat 2-0 selepas kedua-dua skuad seri 0-0 pada perlawanan pertama di Kuantan pada 2 Disember lalu.

Pemain import dari Brazil, Guilherme De Paula meledak jaringan pertama minit ke-10 setelah menerima hantaran daripada Muhd Nazmi Faiz Mansor sebelum Muhd Nazmi Faiz membuat sepakan menarik pada m-53 untuk 2-0.

Dalam pada itu, Durakovic memuji kesungguhan anak buahnya terutama pemain terbaik iaitu penjaga gol Norazlan Razali atas persembahan cemerlang menumpaskan skuad Tok Gajah di halaman sendiri hingga pasukan itu layak ke final.

"Saya bangga dengan persembahan permainan anak buah saya. Musim ini kami dapat tempat kedua (Liga Super). Perlawanan malam tadi sangat hebat," katanya sambil memuji kehadiran hampir 50,000 penyokong Merah Kuning yang menaikkan semangat pemain Selangor untuk memburu jaringan.

Dalam pada itu, Norazlan menyifatkan kemenangan ke atas Pahang merupakan usaha rakan sepasukan sambil turut mengidam peluang merangkul Piala Malaysia bersama skuad Gergasi Merah setelah mampu meraih gelaran naib juara Piala Malaysia bersama Johor Darul Ta'zim musim lalu.

"Alhamdulillah, kejayaan ke final ini hasil sokongan padu daripada penyokong serta rakan sepasukan. Harapan saya pada aksi final nanti adalah sangat tinggi. Apapun saya fokus kepada latihan dan persediaan untuk menghadapi aksi final nanti," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 4:29 PM