PENGHISAP rokok elektronik yang semakin mendapat tempat bagi menggantikan rokok.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kisah penggunaan rokok elektronik (e-cigs) atau vape bukanlah satu isu baru, malah menimbulkan polemik berpanjangan. Ketagihan nikotin melalui vape ini pastinya menjadi satu cabaran baru kepada pengamal perubatan.

Ia menjadi bertambah sukar kerana ketagihan nikotin seperti vape di luar kawalan dan tiada piawaian standard tetapi penggemar vape menjadikan alasan bahawa ia satu alternatif terbaru untuk mereka berhenti terus daripada merokok.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, perbahasan isu vape yang menjadi alternatif ini terus dihangatkan di media sosial, namun jawapannya masih tidak konklusif dan memerlukan penemuan baru melalui kajian saintifik.

“Saya meneliti satu artikel berwibawa dan bertaraf pelaporan sistematik membabitkan lebih 7,500 subjek kajian merentasi enam kajian saintifik terpilih seluruh dunia sekitar 10 tahun lalu.

“Artikel berkaitan ditulis oleh Muhammad Aziz Rahman dan rakan yang bertajuk ‘E-Cigarettes and Smoking Cessation: Evidence from a Systematic Review and Meta-Analysis.’ Beberapa maklumat penting yang ditemui pengkaji ini antaranya, e-cigs bernikotin lebih berkesan berbanding e-cigs tanpa nikotin dalam mengurangkan jumlah perokok,” katanya.

Dr Suhazeli berkata, data itu turut menunjukkan e-cigs bernikotin dilaporkan berjaya hanya 18 peratus untuk perokok mengurangkan rokok dalam tempoh minimum enam bulan.

Selain itu, katanya, tiada kajian yang boleh diambil dalam menentukan samada e-cigs lebih berkesan berbanding kaedah Terapi Gantian Nikotin (TGN) seperti ubat Verinecline, tampalan nikotin, gula-gula kunyah nikotin atau penyedut nikotin.

Kajian emperikal secara rawak terkawal perlu dijalankan bagi mengenal pasti kelebihan keberkesanan e-cigs dalam memberi alternatif kepada perokok untuk berhenti merokok.

“Kesimpulannya, e-cigs tidak boleh dijadikan alternatif pada masa ini untuk menggantikan kaedah berhenti merokok konvensional TGN. Namun sekiranya hendak dijadikan juga sebagai alternatif TGN, mestilah dengan syarat ia dijalankan di bawah penyeliaan ketat pengamal perubatan dan ahli farmasi.

“Rokok elektronik di negara kita, tiada satu akta yang mengikatnya kecuali Akta Racun 1952. Jika ia digubal, pengedaran, penjualan dan penggunaan e-cigs mestilah dalam jumlah yang standard dan dikawal selia dengan ketat. Ini kerana nikotin tulen sudah terbukti berbahaya dalam jumlah atau dos tertentu,” katanya.

Bagi rokok, katanya, selain Akta Racun 1952, ia termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mengikut Akta Makanan 1983 menjadikan penjualan, pengedaran dan pengambilan rokok terselia dalam dos nikotin yang terkawal secara ketat.

Begitu juga dengan TGN yang digunakan oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi dalam dos yang tetap dan dikawal selia.

“Ramai yang mengajukan soalan kenapa Kementerian Kesihatan bertindak merampas vape, tetapi rokok boleh dijual bebas tanpa gangguan.

“Ini kerana Kementerian Kesihatan bertindak atas kapasiti dan bidang kuasa yang sedia ada seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu vape yang mempunyai racun nikotin saja akan dirampas kerana menyalahi akta Racun 1952 (Nikotin adalah racun kelas C dalam jadual racun yang terlarang),” katanya.

Dr Suhazeli berkata, nikotin yang dijual melalui vape berbentuk cecair nikotin tulen 4mg/ml berbanding nikotin yang terdapat dalam sebatang rokok iaitu 1mg. Justeru, jumlah nikotin dalam cairan vape memang tinggi.

Menurutnya, nikotin yang terdapat dalam rokok dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 manakala penjualan vape ini masih belum ada satu akta yang mengawalnya kecuali Akta Racun 1952.

“Racun nikotin tulen vape ini boleh mendatangkan mudarat segera kepada pengguna yang menyalahgunakannya. Kajian Pusat Racun Negara menyatakan Racun Nikotin ini akan menyebabkan gangguan perut dan usus jika diambil serendah 2mg.

“Dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk antaranya sawan dan kegagalan pernafasan. Nikotin pada paras sekurang-kurangnya 4mg boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak manakala 40mg boleh menyebabkan kematian dalam kalangan orang dewasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 11:10 AM