PENERIMA anugerah bergambar kenangan bersama tetamu kehormat.
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) ke-32, baru-baru ini, menyaksikan 372 graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar.

Ia merangkumi empat kategori iaitu Anugerah Platinum (seorang), Anugerah Pingat Emas (34), Anugerah Pegawai Eksekutif (324) dan Anugerah Kecemerlangan Program Usahasama Coventry University Best Project (empat).

Pada majlis berkenaan, seramai 5,809 graduan diraikan dengan penuh gemilang selepas berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai jurusan.

Pengerusi KPTM Ahmad Nazlan Idris berkata, bagi menghadapi persaingan yang mencabar, graduan perlu memiliki pelbagai kemahiran insaniah mantap.

“Graduan perlu sedar, majikan hari ini mencari mereka yang cemerlang dan mempunyai pelbagai kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, mampu berfikir di luar kotak secara kreatif dan kritis, kepemimpinan dan sebagainya.

“Saya berharap graduan KPTM mampu melangkah lebih jauh dan menjadikan kejayaan hari ini sebagai batu loncatan untuk terus cemerlang, sekali gus tabah mengharungi era globalisasi dengan penuh komited,” katanya.

Penerima Anugerah Platinum Nur Afifa Hazwani Mohamed Raziff tidak menyangka terpilih menerima anugerah itu kerana menganggap kehadirannya di menara gading hanya untuk menuntut ilmu.

Graduan Diploma Business Management KPTM Bangi ini menganggap usaha kerasnya sudah terbalas dan kini giat merangka masa depan.

“Saya dedikasikan anugerah ini kepada keluarga, pensyarah dan rakan yang banyak memberikan dorongan.

“Mereka banyak membantu dan pada masa sama sistem pembelajaran di KPTM yang profesional antara faktor kejayaan ini,” katanya.

Anugerah Platinum adalah adalah anugerah tertinggi diberikan kepada pelajar berdasarkan pencapaian terbaik dalam akademik daripada kumpulan penerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif dan Anugerah Pingat Emas serta cemerlang dalam bidang kokurikulum.

KPTM mempunyai sembilan kampus berstatus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan bernaung di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Majlis konvokesyen itu membabitkan graduan dari semua kampus KPTM iaitu Kuala Lumpur, Kuantan, Bangi, Kota Bharu, Alor

Setar, Ipoh, Batu Pahat, Johor, Semporna dan KESEDAR Gua Musang membabitkan 44 kursus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 10:25 AM