FORD Ranger WildTrack.
BUTANG pelaras kelajuan pada stereng digunakan ketika mod Hill Decent Assist.
MAKLUMAT mod pemanduan terpapar pada sebelah meter.
MENUNDA treler basikal ketika mendaki bukit.
TRAK pikap tidak meluncur laju apabila Hill Decent Assist diaktifkan.
KEUPAYAAN meredah air setinggi 80cm.
WILDTRACK mampu menampung muatan luar biasa sehingga 1,200kg.
Oleh Asraf Awaludin

Selepas varian baharu Ford Ranger diperkenalkan di Bangkok awal tahun ini, belum pernah penulis berpeluang merasai kuasa mutlak trak pikap yang dikatakan paling berkuasa dan pintar di Malaysia.

Penulis diterbangkan khas oleh Ford Motor Company ke New Zealand bagi melihat dan merasai kehidupan kebanyakan rakyatnya yang menjadikan trak pikap sebagai kenderaan utama.

Ford Ranger Drive Camp di Lake Wanaka, New Zealand tidak seperti program pandu uji kebiasaannya kerana bentuk muka bumi yang bergunung-ganang dan lasak tidak sesuai untuk pemanduan santai.

Kemahiran memandu 4x4 dititikberatkan sebelum ekspedisi bermula, tetapi bagi penulis yang tidak pernah mempunyai pengalaman itu adalah cabaran yang perlu ditempuh selama dua hari di Lake Wanaka.

Varian WildTrak yang berharga RM132,188 menjadi mesin uji terbaik penulis. Enjin generasi terkini berkuasa 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi menjana kuasa 200PS serta tork setinggi 470Nm menjadikan cukup mudah mengharungi laluan ‘off road’.

Cabaran hari pertama menaiki bukit tidak berturap dan berbatu dengan sudut mendaki 25 darjah. WildTrak dilengkapi sistem keselamatan tercanggih pada Hill Decent Assist (Bantuan Mendaki Bukit) yang membantu pemandu bergerak pada kelajuan minima tanpa membahayakan trak pikap dan penumpang.

Jika pemandu berhenti ketika mendaki, sistem keselamatan secara automatik menahan trak pikap daripada mengelongsor selama tiga saat. Secara tidak langsung memberi ruang dan masa kepada pemandu membuat keputusan sama ada memberhentikan kenderaan atau mengubah haluan.

Pendakian sejauh kira-kira 50 meter dan laluan sempit di tepi tebing setinggi 80 meter bukan untuk jiwa bandar. Penulis memilih untuk memandu kurang daripada 5 kilometer sejam sambil dibantu pelaras kelajuan pada stereng.

Butang pelaras kelajuan lebih praktikal ketika menuruni laluan curam. Pemandu hanya perlu menekan butang tolak beberapa kali dan melepaskan pedal brek sebelum dapat merasai trak pikap mencengkam daripada terus mengelongsor laju.

Keupayaan WildTrak diuji pula dengan satu tayar terangkat dari tanah dan gagal bergerak ketika melalui laluan berbonggol setinggi 100 sentimeter (cm). Pada cabaran ini, Differential Lock elektronik pada roda belakang sangat efektif mengurangkan putaran dan menyalurkan kuasa pada tayar lain untuk terus berjalan.

Penulis begitu kagum keupayaan Ford Ranger teliti dalam menghasilkan trak pikap pintar dan selamat. Kedua-dua mod ini boleh diaktif dan dinyahaktif walaupun ketika bergerak bersesuaian mengikut halangan.

Penghasilan trak pikap dengan kuasa menunda sehingga 3,500 kilogram (kg) serta kapasiti mengangkut beban luar biasa mencecah 1,200kg menjadi sebab utama varian WildTrak pilihan rakyat Kiwi.

Penulis berpeluang menunda treler basikal dianggarkan seberat 1,500kg melalui jalan landai tidak berturap dan kagum keupayaan WildTrak mengekalkan kestabilan trak pikap daripada tersasar.

Rakyat Malaysia umumnya tidak memandang keupayaan menunda kerana bukan budaya, tetapi mengangkut beban mencecah 1,200kg mungkin menjadi tarikan terutama dalam menyalurkan bantuan pada musim banjir saban tahun.

Ekspedisi ‘off road’ menguji WildTrak meredah sungai sejuk sedalam 0.4 meter ketika dalam perjalanan mengakhiri cabaran hari pertama. Keupayaan meranduk air WildTrak terbaik dalam kelasnya sehingga 0.8 meter.

Halangan meredah sungai menjadi lebih mudah apabila Differential Lock diaktifkan. Ini sebagai langkah keselamatan mengelak tayar tidak mencengkam dasar sungai yang tidak rata, sekali gus mengelak terperangkap.

Varian premium WildTrak dilengkapi sistem SYNC 2 di dalam kabin menggunakan skrin sentuh berzaiz lapan inci seperti mengawal telefon, hiburan dan suhu secara berasingan. Sistem ini juga menerima arahan suara mudah seperti mencari alamat yang dimuatkan dalam mod navigasi.

Ford Ranger menguasai pasaran trak pikap New Zealand empat bulan berturut-turut. Sehingga Oktober 5,061 unit laris terjual berbanding persaing terdekat Toyota Hilux sebanyak 4,778 unit.

Rakyat Kiwi sudah mula membuka lembaran pilihan mereka apabila mengetepikan Toyota yang sudah 32 tahun mendahului pasaran, sekali gus masa terbaik bagi Ford menawan pengguna baru.

INFO

FORD RANGER WILDTRAK

- ENJIN: 3.2L Diesel TDCi Duratorq 5 silinder

- TRANSMISI: Automatik enam kelajuan

- KUASA MAKSIMUM: 200PS@3,000rpm

- TORK MAKSIMUM: 470Nm@1,750-2,500rpm

- KAPASITI MENUNDA: 3,400kg

- HARGA: RM132,188 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:02 AM