NISSAN NP300 Navara.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Dalam tempoh sebulan sebelum pelancaran Nissan NP300 Navara baharu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sudah menerima lebih 1,000 tempahan trak pikap terbaru itu.

Sambutan memberangsangkan itu membuktikan trak pikap jenama Nissan mempunyai peminatnya tersendiri selepas lebih setahun menunggu dilancarkan di negara ini.

Nissan NP300 Navara baharu berbeza berbanding sebelumnya selepas ia diimport sepenuhnya dari Thailand dan dipasang di kilang negara itu yang menjadi hub untuk pasaran eksport di rantau ini.

Biarpun ia model import, harga ditawarkan boleh dianggap masih berpatutan selepas dijual antara RM81,780.08 sehingga RM124,737.60 atas jalan termasuk insurans.

Bagi spesifikasi paling tinggi iaitu 2.5 VL transmisi automatik, ia dilengkapi dengan ciri paling menarik jika dibandingkan dalam rangkaian trak pikap di negara ini.

Ini berikutan ia menjadi trak pikap buatan Jepun pertama di Malaysia yang menggunakan suspensi belakang jenis multi-link.

Suspensi itu memberi pengalaman pemanduan dan pengendalian yang selesa seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) biarpun ketika membawa beban maksimum seberat satu tan.

Enjinnya juga lebih mantap apabila dikuasakan rangkaian kuasa 2.5L YD25DDTi dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler.

Ia juga menggunakan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama mod manual yang pertama dalam kelasnya untuk menyalurkan lebih kuasa dan pecutan.

Kuasa maksimumnya mencecah 190PS dan tork 450Nm pada 2,000rpm menjadikannya trak pikap paling berkuasa dalam kelasnya.

Penampilannya ternyata lebih gah dan agresif berbanding model sebelumnya yang menerima perubahan imej luaran dengan warisan reka bentuk Nissan.

Lampu utama LED sepenuhnya dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) berbentuk ‘boomerang’ yang turut disempurnakan rekaan jeriji ‘V-motion’ Nissan.

Ia tampak menyerlah dengan padanan spoiler belakang yang baharu untuk meningkatkan aspek aerodinamik, manakala rim aloi bersaiz 18 inci menambahkan lagi elemen sportynya.

Menjengah di ruang kabinnya, ia tampak selesa dan mewah yang boleh didapati seperti pada model premium Nissan lain.

Tempat duduk diinspirasikan daripada graviti sifar yang pertama dalam kelasnya memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan.

Ruang kokpit, pemandu boleh melihat paparan maklumat kenderaan dengan skrin warna Advanced Drive Assist Display (ADAD).

Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memudahkan pemandu mengakses terus sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja.

Sudut menyandar untuk tempat duduk belakang yang ditambah baik bersama corong pendingin hawa memastikan keselesaan penumpang belakang pada setiap masa.

Pada masa sama, ia turut dilengkapi kunci pintar bersama butang penghidup dan paparan bersaiz 5-inci dengan sokongan FM/AM/MP3, sambungan USB, kamera pandang belakang dan enam pembesar suara.

Apa yang menarik, Nissan NP300 Navara hadir bersama ciri keselamatan terkini untuk memberi keselamatan optimum selepas dilengkapi ciri Active Brake Limited Slip untuk cengkaman lebih baik serta meningkatkan kestabilan kenderaan di jalan licin, selain dipadankan Bantuan Mula Mendaki dan Bantuan Menuruni Bukit.

Nissan NP300 Navara hadir bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer yang turut ditawarkan dengan pilihan warna perak, hitam, putih dan oren.

INFO

NISSAN NP300 NAVARA VL 2.5 L

- Enjin: YD25DDTi

- Kuasa maksimum: 190 Ps pada 3,600 rpm

- Tork maksimum: 450 Nm pada 2,000 rpm

- Transmisi: Tujuh kelajuan automatik dengan mod manual

- Suspensi belakang: multi-link

- Suspensi hadapan: Independent Double-Wishbone

- Tangki bahan api: 80 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:01 AM