COSTA.
AFP

London: Diego Costa akan cuba melenyapkan kritikan yang semakin memuncak terhadap aksi hambarnya selepas kisah penyerang Chelsea itu mendominasi tajuk akhbar menjelang kunjungan Bournemouth ke Stamford Bridge malam ini.

Selepas kisah reaksinya kerana digugurkan membayangi keputusan seri Chelsea di Tottenham hujung minggu lalu, Costa terus terjebak dengan kontroversi apabila bintang Sepanyol itu dilihat meninggalkan sebuah kelab malam di London bersama rakan sepasukan Kenedy dan Ramires awal pagi semalam.

Bagaimanapun pengurus Blues Jose Mourinho memberi kebenaran buat pemainnya keluar meraikan parti Krismas dan Costa cukup cergas untuk menjalani latihan sembilan jam kemudian bersama rakan sepasukan.

Mourinho berharap pelepasan itu akan menaikkan semangat pemainnya khususnya Costa dalam usaha melepaskan diri dari kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris.

Keputusannya untuk meletakkan Costa di bangku simpanan ketika menentang Tottenhan mencetus rasa kurang senang penyerang itu, yang pada satu ketika membaling jersi latihannya ke arah pengurus terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 6:04 AM