Oleh Norfaisal Jahuri
sukan@hmetro.com.my

Jasin: Laluan berbukit, hutan dan berair di kawasan seluas 161 hektar menjadikan lokasi Sirkit 4 Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di daerah Jasin, menepati cita rasa untuk aktiviti berbasikal lasak.

Sejak aktiviti mountain bike menjadi fenomena di negara ini empat tahun lalu, kawasan Jasin menjadi tumpuan ramai peminat sukan lasak dan kebanyakan pengayuh lebih gemar berbasikal di daerah itu kerana dianggap antara lokasi paling mencabar.

Perkara ini diakui Pengerusi Jasin Bikers Hairool Hisham Roslan yang menyatakan ramai peminat sukan itu di negeri ini menganggap daerah berkenaan mempunyai trek paling sukar jika dibandingkan dua daerah lain di Melaka.

Menurut Hairool, di Jasin saja ada sembilan lokasi yang menjadi tumpuan peserta mountain bike memburu cabaran setiap hujung minggu.

Katanya, antara kawasan berkenaan Bukit Langsat, Lipat Kajang, Chincin, Asahan, FELDA Bukit Senggeh, Nyalas, Kemengkang, Kesang Pajak dan Bemban.

“Bagi kami, kawasan Jasin mempunyai trek lengkap dengan ciri-ciri berbukit, hutan dan mempunyai kawasan laluan berair sekali gus menepati cita rasa sebenar sukan lasak itu,” katanya, di sini, semalam.

Hairool berkata, Bukit Langsat mempunyai kawasan berbukit curam setinggi 330 meter dan kebanyakan mereka yang melaluinya pasti mengeluh kerana terpaksa menanggung beban untuk mendaki dalam keadaan sangat mencabar.

Menurutnya, lokasi di Jasin juga selalu menjadi pilihan untuk kejohanan mountain bike dan penyertaannya mendapat sambutan luar jangkaan kerana kebanyakan peserta rasa teruja dengan trek mencabar.

“Kawasan ini sesuai untuk dipromosikan dan boleh menjadi lokasi tumpuan bagi tujuan pelancongan sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:07 AM