XHAKA (kanan) yakin Bayern mampu ditewaskan.

Berlin: Kapten Borussia Moenchengladbach Granit Xhaka berkata, pasukannya berpeluang membuktikan kepada liga Jerman bahawa pendahulu Bayern Munich mampu ditewaskan, hari ini.

Xhaka dan barisan bintang Gladbach begitu bersemangat untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka apabila turun menentang pasukan terbaik Jerman di Borussia Park dengan pasukan mereka kini menghuni tangga keempat liga, lapan mata ketinggalan kepada Bayern.

“Memang jelas Bayern berada di tahap berbeza ketika ini, tiada pasukan di Eropah atau dunia berada di tahap terbaik seperti itu,” kata pemain tengah Switzerland itu.

“Namun Bayern boleh ditewaskan. Setiap pasukan mampu melakukannya, anda hanya perlu mencari jalan terbaik untuk menewaskan mereka.

“Pada perlawanan nanti kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menang kerana mempunyai kelebihan di gelanggang sendiri,” katanya.

Dalam pada itu Gladbach mahu menjadi pasukan kedua musim ini berjaya mencuri mata daripada Bayern dalam saingan liga.

Pengendali Munich Pep Guardiola semakin menghampiri gelaran juara Bundesliga apabila meraih 40 daripada 42 mata maksimum yang ditawarkan selepas melakar 13 kemenangan daripada 14 perlawanan dan seri sekali di Eintracht Frankfurt Oktober lalu.

Gladbach belum tewas dalam sembilan perlawanan terakhir liga di bawah kendalian ketua jurulatih Andre Schubert yang berusaha keras mengekalkan rekod itu apabila bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang pasukan tercorot liga Hoffenheim. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:04 AM