MAHU adakan majlis perkahwinan secara sederhana saja.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Pada Februari depan, penyanyi Akim Ahmad, 24, dan tunangnya, Stacy Anam, 25, atau nama Islamnya Ummu Syaikhah bakal disatukan sebagai suami isteri.

Walaupun teruja, namun Akim memaklumkan belum banyak persiapan dilakukannya.

“Persiapan lebih banyak diuruskan keluarga kami. Kami bersyukur kerana keluarga banyak membantu,” kata penyanyi The Majistret ini.

Ditanya mengenai majlis bahagianya itu, Akim berkata, ia akan diadakan di kampung halaman Stacy di Sabah dan seterusnya di kediaman keluarga Akim di Johor Bahru.

“Buat masa sekarang kami belum merancang untuk mengadakan majlis di Kuala Lumpur. Paling penting adalah majlis di Sabah dan Johor Bahru kerana keluarga kami menetap di sana,” katanya.

Sebagai selebriti, mereka turut dihubungi beberapa pihak yang ingin menaja majlis perkahwinan mereka, namun Akim dan Stacy belum berbincang lagi mengenainya.

Akim berkata, dia hanya menginginkan majlis yang sederhana saja.

“Saya tidak mahu terlalu gah, tetapi tidaklah juga terlalu biasa. Biarlah bersederhana saja kerana saya tak mahu membazir.

“Lagipun selepas kahwin nanti, saya perlu merancang kewangan dengan lebih teliti,” katanya.

Akim kian matang

Menjelang hari perkahwinannya, Akim mengakui dia kini lebih berfikiran matang.

Katanya, sebelum ini dia bekerja untuk diri sendiri, tetapi sekarang apa saja yang dilakukan, dia perlu berfikir untuk masa depan.

“Kini saya sentiasa beringat untuk bekerja lebih keras kerana saya akan mempunyai keluarga sendiri tidak lama lagi.

“Selain itu, saya juga akan menjadi imam kepada isteri dan bakal anak saya, jadi saya memang sudah mempersiapkan diri untuk itu,” katanya.

Tidak hanya mengahwini Stacy, Akim juga sudah bersedia untuk menerima anak angkat penyanyi itu, Bella Deluna Valentina, 6.

“Memang sejak kecil, Bella sudah rapat dengan saya dan dia juga memanggil saya daddy.

“Bagaimanapun, kami akan menjelaskan kepadanya mengenai perkahwinan ini nanti,” katanya yang bertunang dengan Stacy pada 26 September lalu.

Terbaru, Akim bersama Black, Azlan (The Typewriter) dan Hazama diberi tanggungjawab sebagai mentor dalam program Mentor Milenia yang akan ditayangkan bermula 3 Januari depan di TV3.

Selain itu, dia juga turut menghasilkan single baru untuk Stacy berjudul Romeo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:04 AM