Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my


Band rock Estranged yang sebelum ini popular dengan lagu Itu Kamu mengakui tempoh empat tahun kurang produktif adalah fasa merugikan buat mereka.

Penyanyinya, Rich berkata, banyak perkara dan momen berlalu pergi dan terlepas begitu saja disebabkan kesilapan mereka.

Namun, dia enggan mengimbas lebih lanjut detik merugikan itu dan kini mereka hanya mahu pandang ke depan saja.

“Masa berlalu begitu saja atas kesilapan kami. Ia memang merugikan. Namun, itu hal dulu dan ia menjadi pengalaman buat kami.

“Apa pun, kami belajar daripada kesilapan dan kelalaian itu untuk menjadi lebih baik. Sekarang adalah masa untuk kami memikirkan masa akan datang,” katanya.

Rich bersama dua lagi anggota Estranged, Din (gitar) dan Hanafi (bass) ditemui RAP pada sesi ramah mesra sempena kemunculan album terbaru mereka, Sepenuhnya Vol. 1 di ibu negara, kelmarin.

Sambung Rich, kehadiran album keempat itu boleh diibaratkan kemunculan semula mereka di persada muzik.

“Sudah terlalu lama sangat kami kurang aktif dan berehat, kini adalah masa untuk bekerja semula. Harapan kami agar album dan lagu baru ini akan diterima peminat.

“Ia adalah evolusi dalam perjuangan muzik kami yang terhasil daripada kematangan sejak 2001 dalam bidang ini,” katanya yang menggarap genre rock moden dan elemen Borneo dalam album baru itu.

Selain single pertama, Inginkan Kau yang popular sejak Julai lalu, pemenang Anugerah Juara Lagu 2007 ini tampil pula dengan Hancur Aku menampilkan Fazura.

Mengulas mengenai perjalanan seni mereka yang kini diteruskan dengan tiga anggota, Din berkata, pengunduran pemain dram, Andy berpunca daripada perselisihan faham membabitkan muzik dan bukan hal peribadi.

“Memang sudah tiga bulan kami tinggal bertiga selepas Andy berundur Ogos lalu, tapi kami tidak bergaduh. Rasanya sudah sampai masanya kami berpecah secara profesional.

“Konflik yang berlaku hanya berlandaskan prinsip dan objektif kerja semata-mata. Hala tuju kami sudah berbeza, itu saja,” katanya.

Namun jelas Rich, pada masa ini mereka selesa bergerak bertiga dengan bantuan pemain dram jemputan yang diundang mengikut keperluan sesebuah persembahan.

“Buat masa ini biar macam ini saja rasanya. Kami selesa dan sekepala bertiga. Tapi, kami terbuka untuk menggunakan khidmat pemain dram undangan.

“Malah, kami juga akan terbuka dalam mencari bakat baru atau berpengalaman sebagai pengganti Andy pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:03 AM