Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sektor pembinaan negara yang dijangka mengalami pertumbuhan pada kadar 10.6 peratus tahun depan membuktikan negara sedang bergerak ke arah pembangunan positif walaupun berdepan dengan situasi ekonomi yang sukar diramal.

Malah, sektor itu juga dilihat memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat yang menjadi salah satu faktor bagi memperkembangkan ekonomi semasa kerana peluang pekerjaan adalah kayu ukur utama bagi menilai pembangunan sesebuah negara.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan itu, peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan sering didominasi oleh pekerja asing dan dapat dilihat menerusi angka dicatatkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menunjukkan bahawa setakat ini terdapat 450,000 pekerja asing berdaftar di bawahnya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kekurangan minat rakyat tempatan menyertai pekerjaan dalam bidang pembinaan adalah punca peningkatan angka itu yang mana pemain industri terpaksa mengupah warga asing menjadi buruh binaan.

Beliau berkata, sebenarnya pembabitan rakyat tempatan dalam bidang pembinaan adalah satu kerjaya yang menawarkan pulangan pendapatan tinggi terutama bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu seperti pengendali jentera berat, kimpalan dasar laut dan pemasang panel solar.

“Oleh itu, kementerian menerusi CIDB mewujudkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk memberi peluang kepada golongan belia khasnya bagi menyertai bidang ini, sekali gus dapat mengurangkan jumlah pekerja asing dalam industri pembinaan,” katanya.

Dalam usaha negara mencapai sasaran ditetapkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dikenal pasti sebagai salah satu teras utama dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kerana sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan diwujudkan dalam RMK-11 dijangka memerlukan kelayakan berkaitan TVET.

Dalam satu temu bual Bisnes Metro dengan graduan ABM sebelum ini, Yusnorhafiz Marjoni, 23, yang mempunyai kepakaran dalam Backhoe Loader & Operation mampu menjana pendapatan sehingga RM40,000 sebulan. Manakala, Muhammad Solahudin Habil, 25, yang berkepakaran dalam bidang penyaman udara dan mekanikal pengudaraan mampu menjana RM50,000 sebulan.

Fadillah berkata, dengan pendapatan diperoleh graduan ABM itu menunjukkan industri pembinaan memberi peluang besar kepada rakyat tempatan terutama golongan belia menjana pendapatan besar setiap bulan.

“Kita memperkenalkan teknologi pembinaan menerusi sistem binaan berindustri (IBS) yang dilihat mampu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja manusia dan juga menghasilkan keseragaman dalam pembinaan sesuatu projek.

“Dengan adanya teknologi seperti ini, rakyat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan berimpak tinggi mampu menjana pendapatan lebih baik kerana kerja buruh binaan yang biasa dilakukan pekerja asing boleh dikurangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:03 AM