Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melihat rakyat tempatan terutama golongan belia perlu menukar persepsi negatif untuk menjadikan bidang pembinaan sebagai kerjaya memandangkan ia mempunyai prospek tinggi terutama dari segi pendapatan.

Faktor 3D iaitu kesukaran, kotor dan berbahaya menyebabkan rakyat tempatan tidak mahu menceburi bidang itu dan mengakibatkan pembabitan pekerja buruh asing menyertainya secara langsung.

Ketua Eksekutif CIDB dan Akademi Binaan Malaysia (ABM), Datuk Seri Ir Dr Judin Abd Karim berkata, golongan belia yang tidak mempunyai kecemerlangan dalam bidang akademik tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal digalakkan untuk menyertai bidang berkenaan.

Beliau berkata, kejayaan dalam pekerjaan tidak semestinya mempunyai ijazah dari universiti tetapi golongan mempunyai kemahiran teknikal kini mampu menjana pendapatan tinggi memandangkan ketika ini sektor pembinaan memerlukan tenaga kerja berkemahiran.

“Kita juga boleh mengurangkan pembabitan pekerja asing sama ada berdaftar atau haram menyertai bidang ini kerana jumlah pendaftaran yang diterima pihak kami meningkat dari tahun ke tahun,” katanya kepada Bisnes Metro.

Judin berkata, sejak akademi itu ditubuhkan pada 1997, ABM melatih lebih 270,000 belia dan personel binaan iaitu mereka yang mempunyai pengalaman dalam indsutri.

“Bagi memastikan tenaga kerja pakar dalam bidang ini dapat diteruskan CIDB melabur daripada RM80 juta hingga RM90 juta setahun untuk latihan personel binaan dalam lebih 60 bidang pembinaan disertai 35,000 peserta setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Hamzah Jusoh berkata, persepsi masyarakat kepada individu yang bekerja dalam industri pembinaan perlu ditukar kerana mereka juga adalah golongan profesional seperti mana diiktiraf oleh negara Barat.

“Jika kita lihat, industri ini adalah sesuatu yang berkembang dan sentiasa mempunyai permintaan tinggi bukan saja di Malaysia malah jika mereka mempunyai kepakaran tinggi, pasaran asing juga boleh ditembusi seperti mana yang berlaku di negara Arab apabila ramai tenaga kerja asing profesional berkhidmat di negara mereka dengan bayaran lumayan.

“Antara faktor mengapa pekerja pembinaan dianggap sebagai kelas bawahan adalah struktur yang diwujudkan oleh pemain industri pembinaan itu sendiri antaranya tidak menyediakan tempat tinggal yang baik dan menguruskan pekerja mereka supaya lebih tampak profesional,” katanya kepada Bisnes Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:02 AM