Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Polis menahan lelaki dikenali sebagai Don Tiger di sini, tengah malam tadi yang dikehendaki bagi membantu siasatan kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, Rabu lalu .

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki yang nama sebenarnya adalah G Bharathy Vasu, 27, ditahan di Taman Cempaka, di sini dalam serbuan sepasukan polis pada 12.15 tengah malam.

"Polis turut merampas satu paket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 12.2 gram bersama lelaki berkenaan.

"Suspek akan direman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang Rabu lalu, seorang lelaki bertindak merempuh dua sekatan jalan raya sebelum menghimpit dan melanggar seorang polis trafik hingga cedera akibat terjatuh, serta berbalas tembakan dengan polis dan meloloskan diri ke kawasan kebun limau di Kampung Baru, Tambun.

Chang Keong berkata, walaupun berjaya meloloskan diri namun polis mengenalpasti identiti individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes berkenaan yang dikenali sebagai Don Tiger.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 1:37 PM